suria

Adik Cerita Pengalaman Tiga Kakak Berdepan Gempa Bumi Di Christchurch

PETALING JAYA: Gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter yang menggegarkan New Zealand pada pagi Sabtu membuatkan rakyat Malaysia yang mempunyai ahli keluarga di sana tidak dapat lari dari perasaan cemas dan bimbang.

Lebih menyedihkan apabila gempa bumi terbesar dalam tempoh 80 tahun negara itu berlaku di penghujung Ramadan, ketika umat Islam di seluruh dunia sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Baki Zainal, 29 yang mempunyai tiga orang kakak yang menetap di bandar selatan Christchurch berkata dia tidak akan melupakan saat-saat di mana dia mendapat khabar tentang mala petaka tersebut kira-kira pukul 2 pagi hari kejadian.

"Saya panik bila dapat tahu tentang gempa bumi itu dari Twitter. Banyak kali saya cuba hubungi kakak-kakak di sana tetapi gagal.

"Kerana tak mahu emak yang tinggal bersama saya bimbang, saya juga ambil keputusan untuk tidak memberitahunya dulu," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Baki bagaimanapun bersyukur apabila mendapat panggilan dari kakaknya beberapa jam selepas kejadian.

"Mereka semua selamat dan tak mengalami kecederaan, tetapi dinding rumah mereka runtuh. Saya juga diberitahu rumah kakak sulung rosak agak teruk.

"Kakak juga beritahu bekalan elektrik terputus. Begitu juga bekalan gas dan air. Kedai-kedai banyak yang rosak," katanya.

Menceritakan kembali pengalaman kakaknya kepada mStar Online, Baki berkata kebanyakan bangunan yang musnah terdiri daripada bangunan-bangunan lama yang cukup cantik rekaan dan seni binanya.

Malah, dia sama sekali tidak dapat membayangkan pengalaman mereka sewaktu berdepan dengan saat-saat getir gempa bumi di sana walau mendengar sendiri kakaknya menceritakan detik-detik berlakunya gempa bumi itu.

"Pada masa itu kakak sekeluarga sedang tidur. Apabila gempa bumi berlaku, dia rasa katilnya terangkat dan kemudian tercampak dengan kuat.

"Gegaran teruk dirasakan lebih kurang 40 minit. Mujur tiada amaran tsunami dikeluarkan," katanya.

Jelas Baki, ahli keluarganya yang berada di sana jumlahnya melebihi 10 orang dan kebanyakan mereka tinggal di sekitar bandar St Alban, kira-kira 10 minit perjalanan dari bandar Christchurch.

Selain bimbangkan keadaan dan keselamatan kakak dan anak-anak buahnya di sana, Baki turut ragu-ragu akan keadaan pusara arwah bapanya di sana.

Dia cuba menempah tiket penerbangan ke New Zealand kerana mahu bersama-sama adik-beradik lain yang pada masa itu perlu berdepan dengan detik cemas, tetapi malangnya lapangan terbang ditutup buat sementara waktu.

Pun begitu, dia dapat menarik nafas lega apabila mendapat tahu seluruh ahli keluarganya selamat dan kubur bapanya tidak terjejas akibat gempa bumi kecelakaan yang berlaku secara semulajadi itu.

Menurut Baki, dia hanya memberitahu ibunya yang berusia 65 tahun tentang bencana itu selepas yakin bahawa kesemua ahli keluarganya selamat.

"Saya minta emak bertenang. Bila dapat tahu tentang gempa bumi itu, dia terdiam seketika, kemudian dia beristigfar. Lepas dapat bercakap dengan anak-anaknya di sana, barulah dia nampak lega," katanya.

Menurut Baki, dia seakan-akan tidak percaya melihat bangunan di bandar yang pernah didiaminya selama beberapa tahun itu ranap akibat gempa bumi.

"Saya lihat di TV kedai roti yang sering saya singgah terbenam masuk ke bawah tanah dan cuma nampak bumbungnya sahaja.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada satu pun yang nyawa yang melayang. Saya berharap keadaan akan terus pulih dan keluarga saya dapat menyambut Aidilfitri dengan selamat," katanya.

Kali terakhir dia bertemu dengan ketiga-tiga kakaknya ialah pada bulan lepas apabila mereka pulang ke Malaysia selama sebulan.

Disebabkan sibuk dengan penggambaran dan jadual kerja yang ketat, dia tidak dapat meluangkan banyak masa bersama mereka.

Baki pernah menetap di New Zealand kerana kebanyakan ahli keluarganya bekerja di sana.

Di Malaysia, dia terkenal sebagai selebriti di saluran 8TV yang fasih berbahasa Mandarin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain