suria

Zaid Dakwa Ahli PKR Mahu 'Kuburkannya'

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim mendakwa menerima ugutan bahawa karier politiknya akan dikuburkan sekiranya meneruskan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Beliau mendakwa menerima amaran akan menerima nasib yang sama dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba daripada pihak yang tidak selesa dengan keputusannya untuk bertanding pada pemilihan parti itu akan datang.

"Ada yang memberi amaran bahawa saya akan dikuburkan seperti Ghafar Baba. Saya teringat lagi peristiwa 1993 di mana Tun Ghafar dibelasah oleh Umno sehinggakan pencalonannya tidak mencukupi dan terpaksa menarik diri," katanya melalui entri terbaru yang dipetik melalui blog www.zaiduntukrakyat.com.

Zaid yang sebelum ini pernah menolak untuk bertanding pada pemilihan PKR kali ini bagaimanapun mengubah pendiriannya minggu lalu.

Selain Zaid, Naib Presiden PKR, Azmin Ali turut dilaporkan berminat untuk merebut jawatan yang bakal dikosongkan oleh penyandang, Dr Syed Husin Ali.

Bagaimanapun menurut Zaid, beliau akur sekiranya bakal menerima nasib yang sama seperti Ghafar.

"Kalau nasib saya seperti Pak Ghafar pun saya rela. Dalam perjuangan politik saya, sifirnya mudah... kalau benar saya sokong, kalau palsu saya bantah," katanya.

Selain itu katanya, sejak mengumumkan hasrat untuk bertanding, beliau menerima banyak tohmahan.

"Sejak saya umumkan hasrat nak bertanding jawatan dalam PKR minggu lepas, sibuk sekali mereka yang tidak selesa dengan keputusan ini.

"Ada yang cuba memberi upah kepada seorang blogger Melayu yang popular untuk memburukkan nama saya. Blogger itu diminta menulis yang saya akan membayar RM20 ribu kepada cabang yang mencalonkan saya, dan menulis bahawa saya kononnya orang suruhan Tun Daim Zainuddin untuk menghancurkan PKR," dakwanya.

Selain itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan berkenaan turut melahirkan kekecewaannya terhadap beberapa ahli Parlimen PKR yang mempersoalkan kesetiaanya terhadap parti.

"Kesetiaan saya juga dipersoalkan oleh sesetengah ahli-ahli Parlimen PKR, tapi kesetiaan terhadap siapa itu tidak dijelaskan. Mungkin saya ini tidak setia kepada perjuangan parti, atau kepada pemimpin tertinggi parti.

"Entahlah, mungkin ahli-ahli Parlimen ini akan menjelaskan mengapa saya tidak boleh disokong dalam sidang akhbar mereka untuk mengumumkan sokongan kepada gandingan hebat Anwar Ibrahim-Azmin Ali... saya dengar Presiden (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) juga akan diminta berundur," katanya.

Tambah Zaid, kini beliau bukan sahaja 'diserang' oleh Umno malah turut menjadi sasaran ahli parti yang baru disertainya sejak setahun yang lalu.

"Pelik sungguh tabiat dan tindakan mereka ini, semasa saya diterima masuk setahun dahulu saya digelar wira, seorang orang yang berani dan berprinsip, pejuang politik yang tidak mementingkan jawatan dan kedudukan.

"Dua belas bulan kemudian saya sudah menjadi orang yang tidak setia, pengacau dan akan menjual parti kepada Umno. Tuduhan terhadap peribadi saya juga ditingkatkan. Teringat saya semasa di Hulu Selangor dulu, cuma masa itu Umno yang membelasah saya," katanya.

Selain itu beliau turut menyeru kepada ahli parti itu agar menyokongnya bagi membawa perubahan dalam PKR.

"Dalam perjuangan ini, kesetiaan saya tidak berganjak seinci pun. Malah semangat saya lebih kuat. Sebab itu saya ingin menawarkan diri untuk bertanding, manalah tahu kalau ahli-ahli PKR terpanggil untuk melihat perubahan dalam parti ini dan menyokong gandingan Anwar Ibrahim-Zaid Ibrahim.

"Kita tidak boleh mengubah budaya politik dan meningkatkan tahap pentadbiran negara kalau parti kita sendiri tidak mempraktikkan prinsip-prinsip yang kita laungkan itu," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain