suria

Warga Singapura Terbunuh, Kereta Terbabas Berhampiran Kulaijaya

JOHOR BAHARU: Seorang warga Singapura terbunuh apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan di Km 32.2 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Kulaijaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supritendan Zulkefly Yahya berkata dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu lelaki berusia 41 tahun tersebut yang duduk di bahagian penumpang belakang mati di tempat kejadian selepas tercampak keluar daripada kenderaan.

"Kereta SUV Ssangyong bernombor pendaftaran Singapura tersebut sedang menghala ke selatan apabila tayar belakang kenderaan itu meletup menyebabkannya terbabas dan melanggar pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi.

Enam lagi termasuk pemandu kenderaan tersebut hanya cedera ringan.

Sementara itu dalam satu kemalangan tengah hari semalam, seorang wanita dan bayi lelakinya terbunuh apabila kereta Proton Satria yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Harrier di Km 48.5, Jalan Johor Baharu-Mersing.

Noorsarry Hassan, 29, yang merupakan seorang kerani meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala, manakala bayinya Saed Adam Saed Hashim, enam bulan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi.

Ketua Polis Kota Tinggi Supritendan Osman Sebot ketika dihubungi berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1.50 petang apabila pemandu Toyota Harrier tersebut hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Toyota Harrier yang dalam perjalanan menghala ke Kota Tinggi itu kemudian bertembung dengan kereta yang dipandu suami mangsa Saed Hashim Saed Mohamed," katanya.

Saed Hashim bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata keluarga tersebut dalam perjalanan dari kampung Noorsarry di Merlimau, Melaka ke rumah mereka di Felda Lok Heng, dan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada jalan yang licin akibat keadaan hujan sebelum itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain