SIBU: Mayat seorang bayi lelaki baru lahir yang dibungkus dalam kertas suratkhabar ditemui dalam beg plastik hitam di satu lorong di kawasan Perumahan Taman Rajang di sini malam tadi.Menurut jurucakap polis beg plastik itu ditemui oleh seorang wanita yang bekerja sebagai penjaja makanan yang baru pulang dari warungnya pada kira-kira pukul 10 malam, yang kemudiannya terus menghubungi polis. Beliau berkata polis percaya mereka yang terlibat datang ke kawasan perumahan itu dan membuang bungkusan tersebut dengan tergesa-gesa berdasarkan kepada keadaan beg plastik itu yang koyak rabak, yang mendedahkan kandungannya yang kelihatan berlumuran darah.Sementara itu dalam perkembangan lain Ketua Polis Sibu ACP Shafie Ismail menyuarakan kebimbangannya terhadap kes-kes kecurian kabel yang didapati semakin berleluasa di sini sejak kebelakangan ini."Banyak kabel di bangunan-bangunan dan tiang-tiang telekomunikasi dilarikan pencuri di sini. Sebanyak 36 kes berkenaan dilaporkan bulan lepas, manakala bulan ini sehingga semalam jumlahnya menjangkau 12," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan pertandingan akhir nyanyian lagu-lagu Melayu dan Iban di Fasa dua Dataran Sibu malam tadi sempena Festival kedua Kuih bulan/tanglung Sibu."Kami tahu identiti mereka yang terlibat, kami sedang mengawasi mereka, beri kami sedikit masa untuk kami tahan mereka," tambahnya.Shafie berkata kecurian itu didapati semakin serius di seluruh negeri dan polis percaya kegiatan itu didalangi satu sindiket terancang. -BERNAMA