KUALA LANGAT: Sebanyak sembilan kes jenayah dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain dilaporkan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.Beliau berkata, peguam yang bergelar Datuk itu dikatakan terbabit dengan tujuh kes jenayah komersial membabitkan penipuan dan pecah amanah berjumlah RM7.1 juta di daerah ini. "Ini termasuk dua laporan polis melibatkan kehilangan dua orang iaitu seorang warga India dan seorang warga tempatan berbangsa Cina."Kes ini dibuka semula untuk siasatan. Sedia maklum, kes jenayah komersial bukan cepat untuk diselesaikan maka perlu diteliti banyak dokumen dan menyoal siasat ramai saksi," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.Ditanya sama ada terdapat pegawai atau anggota polis 'dibeli' oleh peguam terbabit bagi menutup kes tersebut, Khalid berkata, tiada laporan dibuat mengenainya setakat ini."Jika ada, laporkan kepada polis atau datang berjumpa dengan saya sendiri, ceritakan kepada saya apa maksud polis ini dibeli."Sudah semestinya perkara ini akan diambil tindakan sekiranya betul. Setakat ini, semuanya sekadar cakap-cakap saja."Kita tidak akan melindungi orang-orang kita yang menyeleweng atau mereka yang melindungi orang jahat," tegasnya. Selain itu, laporan lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan suspek adalah kehilangan seorang warga India dan seorang warga tempatan berbangsa Cina.Khalid berkata, kehilangan warga India dilaporkan kepada polis pada 8 September lalu dan berdasarkan siasatan, ia mempunyai kaitan dengan suspek kes bunuh Sosilawati."Walaupun kehilangannya pada awal tahun ini namun laporan mengenainya baru saja diterima polis pada 8 September lalu. Ia kini dalam siasatan polis," katanya.Dalam pada itu, beliau memberitahu, kes bunuh seorang wanita India iaitu T.Selvi turut disyaki mempunyai kaitan dengan kes yang sama."Bagaimanapun, kes tersebut masih dalam siasatan meskipun suami mangsa membuat pelbagai ulasan dan mengaitkannya dengan suspek."Sebelum ini kami sudah melakukan siasatan awal terhadap kes itu namun sehingga kes baru melibatkan Sosilawati, belum ada petunjuk baru yang diperoleh," jelasnya.Pun begitu, katanya, kes bunuh wanita itu tidak pernah ditutup kerana polis terus mendapatkan risikan serta maklumat untuk meneruskan siasatan."Sekarang kita sudah pun dapat petunjuk baru, maka kes ini terus disiasat," katanya lagi.Selvi ditikam hingga mati di bahagian dada dan perut di kawasan rumahnya di Taman Cempaka dekat sini pada April 2009 kira-kira pukul 5 petang.Suami mangsa, P. Balasandram, 54 mendakwa kematian isterinya pada tahun lalu mempunyai kaitan dengan suspek utama kes bunuh Sosilawati.Ini berikutan dia pernah menjalinkan kerjasama dengan suspek atas urusan pinjaman wang sejak 2006 dengan bertindak sebagai pemberi pinjaman mencecah berpuluh ribu ringgit manakala suspek pula menyediakan dokumen perjanjian.Sosilawati bersama tiga individu lain telah dipukul sehingga mati dan kemudian dibakar dan abu dibuang di Sungai Panchau berhampiran lokasi kejadian di Ladang Gadong, Tanjong Sepat dekat sini.Selain Sosilawati, tiga individu lain adalah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32.Kesemua mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.