suria

Anggota Parlimen Perlu Letakkan Semangat Kenegaraan Di Tahap Yang Tinggi

KOTA KINABALU: Semua anggota Parlimen tanpa mengira fahaman politik di negara ini perlu meletakkan semangat kenegaraan Malaysia ditahap yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. Beliau berharap semua anggota Parlimen sentiasa jujur terhadap tanggungjawab mereka dan berbudi bahasa untuk dicerminkan kepada rakyat.

“Dalam Parlimen apa pun parti yang kita wakili, kita mesti asingkan perjuangan politik sempit kepada perjuangan kenegaraan. Ini belum nampak jelas kepada kita, misalnya para pembangkang sentiasa mencemuh walau apa pun yang dilakukan tentang kenegaraan.

“Sebaik-baiknya semua pihak tanpa mengira fahaman parti politik seharusnya mendokong konsep 1Malaysia dan Hari Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku ‘Merintis Denai Demokrasi’ sempena 50 tahun Parlimen di sini, Khamis.

Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, anggota Parlimen, pegawai kanan jabatan dan agensi di bawah kementerian itu.

Rais berkata perbezaan pendapat memang digalakkan dalam sistem demokrasi di negara ini namun semangat kenegaraan Malaysia sepatutnya tetap berada di tahap yang tinggi di bawah naungan sebuah parti politik.

“Inilah cara kita melihat kepentingan nilai (sistem demokrasi berparlimen) terhadap perjuangan menerusi Parlimen sebab Parlimen adalah badan paling tinggi yang membuat undang-undang," katanya.

Rais berkata setakat ini Parlimen telah menggubal lebih 2,000 undang-undang utama termasuk pindaan.

Beliau berkata Parlimen Malaysia sudah berpengalaman di bawah 13 Yang di-Pertuan Agong, enam Perdana Menteri selain menyaksikan pertambahan anggotanya.

“Daripada hanya 104 anggota Parlimen sejak ia ditubuhkan 50 tahun yang lalu, kini keanggotaannya bertambah kepada 222 orang...kematangan itu perlu dicerminkan ke arah cinta kita terhadap tanah air kita Malaysia,” katanya.

Mengenai buku ‘Merintis Denai Demokrasi’ setebal 227 muka surat terbitan Arkib Negara, Rais berkata buku cenderamata itu direncanakn khas sempena ulang tahun ke-50 penubuhan Parlimen.

Katanya usaha penerbitan itu merupakan satu pengiktirafan terhadap institusi Parlimen sebagai lambang kuasa rakyat dan tanda suburnya amalan demokrasi di negara ini.

Beliau berkata penerbitan buku itu, antara lain, bertujuan memberi pengetahuan kepada masyarakat sejarah institusi Parlimen seterusnya memupuk kesedaran serta kefahaman mengenai kepentingan nilai demokrasi berparlimen.

Terdahulu ketika melancarkan kempen pelekat 1Malysia anjuran Jabatan Penerangan Sabah di sini yang turut disertai 47 pemandu teksi dan limosin, beliau menggesa para pemandu teksi dan limosin supaya mewar-warkan kepentingan 1Malaysia dan Hari Malaysia untuk mengukuhkan perpaduan nasional sekaligus menjamin keselesaan hidup. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain