suria

250 Ahli PKR Sibu dan Dudong Keluar Parti, Sertai SUPP

SIBU: Sekumpulan 250 anggota PKR dari kawasan Sibu dan Dudong hari ini meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Sibu.

Peter Goh Kai Boon, peniaga berumur 43 tahun yang merupakan pengerusi PKR sub-bahagian Jalan Ek Dee yang mengetuai kumpulan itu berkata, beliau bertekad membawa kembali sokongan kepada Barisan Nasional, kerana melihat kepayahan serta masa depan yang tidak menentu dalam PKR.

Katanya beliau sedih melihat persengketaan dalaman yang sedang berlaku dalam PKR, yang menjejaskan nama parti itu serta perpaduan, sedangkan apa yang amat diperlukan oleh orang ramai ialah kemajuan, bukan kemunsahan.

"Berada dalam PKR membuatkan kami sedar bahawa hanya BN boleh membawa kestabilan politik dan pembangunan sebenar kepada rakyat. Politik bukan hanya mengenai cakap besar dan membuat janji-janji kosong, atau membantah semata-mata untuk membangkang sahaja," katanya semasa membuat pengumuman itu di ibu pejabat SUPP cawangan Sibu.

Majlis turut disertai pengerusi SUPP Sibu Datuk Sri Wong Soon Koh yang merupakan Menteri Alam Sekitar dan Kerajaan Tempatan.

Wong berkata beliau pasti lebih ramai anggota parti pembangkang akan menuyertai SUPP tidak lama lagi.

"Kumpulan ini menyertai SUPP tanpa syarat. Jika mereka boleh buktikan kebolehan mereka, mereka akan berpeluang mendapat jawatan dalam parti. Penyertaan Goh dan rakan-rakannya hari ini boleh membantu mengukuhkan parti," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain