PETALING JAYA: Menjadikan Malaysia sebagai ‘lubuk emas’ yang menawarkan peluang pekerjaan menyebabkan segelintir warga asing menggunakan pelbagai cara dan taktik untuk memasuki negara ini.Kini muncul modus operandi terbaru digunakan oleh warga asing atas tiket pekerja asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Seramai 20 warga Bangladesh ditahan oleh Unit Penguatkuasaan Imigresen KLIA kerana dipercayai menggunakan pasport India palsu dalam satu operasi pagi Ahad.Ketua Operasi Imigresen KLIA, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, sumber memberitahu penerbangan dari Dhaka menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu membawa sebahagian penumpang dipercayai menggunakan pasport palsu.“Kesemua mereka tiba di KLIA pada pukul kira-kira pukul 7 pagi pada Ahad dan seramai 55 penumpang telah ditahan dalam operasi untuk pemeriksaan awal.“Daripada jumlah itu, seramai 20 warga Bangladesh ditahan kerana memiliki pasport palsu India serta 14 warga negara itu menggunakan visa palsu.“Sebahagiannya dipercayai menggunakan permohonan visa dengan rujukan palsu sebagai pekerja asing ke negara ini,” katanya kepada mStar Online di sini, Ahad.Shahul berkata, penggunaan pasport India palsu oleh warga Bangladesh itu berpunca daripada keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk tidak lagi membenarkan warganegara itu masuk ke negara ini sebagai pekerja asing.Justeru katanya, modus operandi itu bertujuan mengelakkan penipuan mereka dikesan oleh Imigresen KLIA yang selama ini melakukan pemeriksaan ketat terhadap kemasukan warga Bangladesh ke negara ini.“Bagaimanapun, operasi yang diperketatkan telah menahan sebahagian mereka di bawah Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.Mereka yang ditahan di bawah Akta Pasport 1966 di bawah Seksyen 12 (1)(a) kerana memiliki visa palsu dan Seksyen 12 (1)(d) di bawah akta sama kerana memiliki pasport palsu.Kesalahan turut membabitkan Akta Imigresen 1959/1963 Seksyen 56 (1A)(b) kerana persediaan melakukan kesalahan untuk memasuki negara ini.Shahul berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mereka yang memiliki pasport India palsu itu menyimpan dokumen negara mereka di dalam bagasi dan antaranya dikenal pasti palsu.“Sekiranya mereka didapati bersalah akan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan dilakukan.“14 warga Bangladesh yang ditahan kerana memiliki visa palsu pula akan dikenakan notis penolakan masuk (NTL) dan kesemua mereka akan dihantar pulang ke negara asal serta-merta,” katanya.