suria

Warga Emas Cedera Dan Rugi RM11,000 Disamun

IPOH: Sepasang suami isteri warga emas cedera ringan dan mengalami kerugian RM11,000 selepas wang tunai dan barang kemas mereka disamun tiga lelaki yang memecah masuk ke rumah mereka di Kampung Tebuk Imam, Bagan Datoh, kira-kira 130km dari sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Supt Mohd Zaki Harun berkata dalam kejadian kira-kira 2 pagi semalam, tiga lelaki berkenaan bersenjatakan parang.

Mereka memasuki rumah mangsa Mustafa Jaafar, 74, selepas mengumpil dinding rumah papan itu dan mengikat tangan dan kaki pasangan itu, katanya, Ahad.

Ketiga-tiga lelaki itu melarikan wang tunai RM1,000 serta barang kemas bernilai RM10,000, katanya.

Mangsa kemudian berjaya melepaskan diri dan meminta bantuan jiran menghantarnya ke hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis lima jam selepas kejadian, katanya.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai warga Indonesia dan Mohd Zaki meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mengetahui kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hiir Perak di talian 05-6299222 untuk membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain