IPOH: Empat lelaki terbunuh, dua daripadanya warga emas dalam empat kemalangan berasingan di Kerian dan Manjung tengah Khamis.Ketua Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata dalam kejadian pertama di Manjung, seorang penunggang motosikal terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Km 10 Jalan Sitiawan-Ayer Tawar. Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 12.55 tengah malam tadi, S. Ganeson, 23, berasal dari Taman Indah Ria, Ayer Tawar, katanya ketika di hubungi Jumaat.Katanya mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat.Pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis.Sementara itu dalam kejadian kedua di Jalan Lekir-Sitiawan, seorang pelajar terbunuh, manakala penumpangnya cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler Khamis.Wan Abdullah berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 1.40 petang semalam, pemandu kereta Mohammad Khairulnazuan Sharuddin, 20, seorang pelajar institusi pengajian tinggi di sini.Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meningga dunia di tempat kejadian manakala rakannya Nor Anjuliana Abdul Ghani, 20, mengalami cedera parah di kepala.Mayat Mohammad Khairulnazuan dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat manakala Nor Anjuliana yang berasal dari Ayer Tawar dirawat di hospital yang sama.Sementara itu di Kerian, seorang warga emas, Mustafa Pin, 75, berasal dari Bagan Tiang, Tg Piandang, terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya terbabas selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal lain petang Khamis.Seorang lagi warga emas, Teo Kim Beng, 60, maut selepas motosikalnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Pantai-Tanjung Piandang pada pukul 3 petang Khamis. - BERNAMA