SIK: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Mohamed Azmin Ali perlu memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kenyataan tidak sopannya mengenai bekas Perdana Menteri itu baru-baru ini, kata Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.Beliau menyifatkan Azmin sebagai pemimpin yang langsung tidak menghargai jasa dan perjuangan Dr Mahathir terhadap negara kerana sanggup mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin yang banyak berjasa itu. "Beliau tidak seharusnya berkata perkataan itu kepada Tun Mahathir, seorang negarawan dan bekas pemimpin yang banyak membuat jasa untuk negara ini dan rakyat semua kaum," katanya kepada pemberita selepas majlis Juara Rakyat di Teloi Timur hari ini.Baru-baru ini, Azmin dalam ucapannya pada satu majlis, menyifatkan Dr Mahathir yang dirawat di Melbourne, Australia kerana jangkitan paru-paru, sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur" di negara itu.Ahmad berkata, rakyat di negara ini perlu menilai sikap tidak sopan Azmin terhadap bekas pemimpin negara itu.Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, masyarakat Felda tidak perlu melayan segala tohmahan dan fitnah golongan yang tidak senang dengan kemewahan yang disediakan kerajaan untuk mereka.Katanya, masyarakat Felda perlu membuktikan mereka menolak hasutan itu dengan tidak melayan atau menjadi pengikut golongan berkenaan yang sentiasa membuat fitnah dan mahu menjadikan mereka sebagai pengikut."Perjuangan yang dibuat kerajaan Barisan Nasional selama ini terbukti mampu membangunkan ekonomi dan taraf hidup rakyat, tetapi golongan penghasut ini sejak sekian lama, terus menjadi penghasut dan tidak ada satu kebaikan yang mereka bantu selama ini kepada masyarakat Felda," katanya. - BERNAMA