suria

Warga Emas Hilang Lima Hari Ditemui

GUA MUSANG: Seorang warga emas, Hassan Dolah, 90, yang dilaporkan hilang sejak lima hari lepas di kebun getahnya di Kampung Pasir Tumbuh dekat sini, ditemui dalam keadaan selamat pada 1.45 petang tadi.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Che Rusli Che Sulaiman berkata, warga emas itu ditemui dalam kebun getah miliknya oleh pasukan penyelamat membabitkan lebih 100 orang, yang melancarkan gerakan mencari bersama penduduk kampung.

Beliau berkata ketika ditemui, Hassan memegang tongkat serta beberapa tangkai buah dokong, dan pasukan penyelamat terus mengusungnya keluar dari kebun itu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.

"Kita menemui mangsa yang muncul dengan tiba-tiba dalam kebun getahnya dan sedang makan buah dokong, tetapi (kelihatan) letih sedikit, dipercayai tidak makan selama lima hari sejak dia dilaporkan hilang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jumaat lepas, Hassan yang baru pulih daripada serangan angin ahmar sejak tiga tahun lepas, berjalan kaki seorang diri pada 7 pagi menuju ke arah kebun getahnya dan tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang.

Anggota keluarganya bersama penduduk kampung kemudian melancarkan gerakan mencari mangsa sehingga lewat malam, sebelum membuat laporan polis selepas beliau gagal ditemui. - BERNAMA

Artikel Lain