suria

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

KEPALA BATAS: Sebanyak 24 buah rumah rosak apabila kebanyakan bumbung rumah berkenaan diterbangkan angin dalam satu kejadian hujan lebat disertai ribut di kawasan Penaga di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, 10 rumah rosak teruk dan hampir hilang keseluruhan bumbungnya dalam kejadian yang berlaku sekelip mata.

Menurut salah seorang mangsa Aminah Yaakob, 45, semasa kejadian beliau berada di bahagian dapur rumahnya dan tiba-tiba angin bertiup kencang sehingga menyebabkan bumbung rumah tercabut.

"Saya beritahu anak-anak yang bunyi angin kuat, tetapi belum sempat habis cakap, kami semua dengar bunyi dentuman yang kuat dan bumbung di ruang tamu serta bilik utama habis ranap," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, kejadian ribut itu berlaku dalam tempoh kurang lima minit dan beliau dengan segera mengarahkan tiga anaknya keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri.

Aminah berkata, rumahnya berselerak dan kotor selepas hujan lebat sejurus kejadian ribut itu.

Sementara itu, Shapie Sarip, 50, berkata, beliau sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib semasa kejadian tersebut.

"Tiba-tiba sahaja bunyi berdentum dan sedar-sedar semua terbang, saya hanya mampu mengingati Allah, syukur nyawa saya masih ada dan semua anggota keluarga saya selamat," katanya.

Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Abu Bakar Yahya yang turut melawat mangsa berkata pihaknya akan mengenal pasti jumlah kerugian yang dialami.

"Saya mewakili Tun Abdullah melawat mangsa yang terlibat dan kita akan memberi bantuan secepat mungkin bagi membolehkan mangsa membaiki rumah mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain