Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud beramah mesra dengan anggota MALCON International Security Assistance Force (ISAF) pada majlis Penghantaran Kumpulan Induk Kontinjen Malaysia ke Afghanistan di Pangkalan Udara TUDM Subang, Selasa malam. MALCON ISAF yang dianggotai 40 orang termasuk 10 pegawai membabitkan Pasukan Perubatan, Pasukan Pergigian serta Elemen Keselamatan Am dan Tadbir Logistik yang akan melaksanakan misi kemanusiaan dalam tempoh masa antara enam hingga sembilan bulan. - Foto BERNAMA KUALA LUMPUR: Seramai 30 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kumpulan Induk Kontinjen Malaysia (MALCON ISAF) berangkat ke Afganistan malam ini, bagi membantu membina serta membangunkan semula negara tersebut.Kumpulan terdiri daripada empat pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat itu akan menyertai kumpulan terdahulu yang telah berlepas pada 16 Julai. Pemangku Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Rodzali Daud berkata kumpulan itu merupakan yang kedua daripada MALCON ISAF bagi melaksanakan Operasi Interim bantuan dan sokongan nasional ke Afghanistan (Op INSAF)."Kumpulan ini akan berada di Wilayah Bamyan yang terletak di tengah Afghanistan. Mereka akan berada di sana dalam tempoh enam hingga sembilan bulan dan akan bertugas bersama dengan Pasukan Pembangunan Semula Wilayah dari New Zealand," katanya ketika berucap sebelum melepaskan pasukan itu di Pangkalan Udara TUDM Subang dekat sini, Selasa.Beliau berkata penugasan MALCON ISAF lebih menjurus kepada bidang perubatan yang kritikal meliputi khidmat kesihatan, pergigian serta bantuan kemasyarakatan dan tidak terlibat dengan sebarang bentuk penugasan kombat."Dalam pada itu, ATM turut merancang untuk menghantar lebih ramai doktor dan paramedik lelaki serta wanita, sebagai mengelakkan isu muhrim, aurat dan sebagainya," kata Rodzali.Beliau berkata MALCON ISAF juga bukan sekadar memenuhi misi kemanusiaan, sebaliknya ia juga mampu mengukuhkan hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan Afghanistan."Oleh itu, saya menyeru supaya anggota tentera kita dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh jujur, dedikasi serta profesional sepanjang bertugas di sana," katanya. - BERNAMA