Seorang pegawai polis berpakaian preman mengacukan pistol ke arah para penunjuk perasaan manakala pegawai polis yang lain melemparkan batu. - Foto AFPPENULIS sebenarnya sedih melihat gelagat segelintir rakyat negara jiran, Indonesia. Tidak cukup dengan demo di hadapan kedutaan kita, yang terbaru Rabu lalu, mereka berdemo di hadapan Istana Presiden mereka pula. Demo itu diadakan sempena ulang tahun pertama pelantikan Susilo Bambang Yudhoyono sebagai presiden Indonesia bagi penggal yang kedua. Tak ada kerja lainkah mereka ini semua? (seorang kawan kata, Ada! Kerja demo).Menurut laporan, lebih 2,000 orang kebanyakannya pelajar bertempur dengan polis yang respon dengan menyembur gas pemedih mata. Sekeping gambar yang disiarkan oleh media-media massa termasuk media massa Malaysia menunjukkan pihak polis juga turut melempar batu malah mengacu pistol ke arah para demonstrator itu. Bukan itu sahaja, khabarnya, pertempuran antara pihak polis dan pihak yang berdemo berlaku di merata-rata tempat sekitar Jakarta dan juga bandar-bandar utama yang lain di pulau Jawa seperti Bandung, Surabaya, Palu dan Bogor termasuk di Makassar iaitu ibu kota Sulawesi Selatan yang menyaksikan lebih 1,000 orang yang berarak telah membakar kenderaan malah menahan pihak polis.Di daerah eksklusif Menteng di Jakarta, pelajar telah dilaporkan menyekat jalan-jalan utama dengan benteng kayu dan tayar buruk dan bertempur dengan pihak berkuasa yang cuba mengalih benteng berkenaan.Jurucakap Polis Jakarta Rafli Amar dipetik sebagai berkata, pihak polis mula melepaskan gas pemedih mata selepas para demonstrator mula membakar poster presiden dan bertindak ganas."Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas mereka jika mereka membakar kereta mahu pun bangunan," katanya.Menurut agensi berita nasional, Antara, pihak berkuasa telah mengerahkan lebih 20,000 anggota polis dalam keadaan bersiap siaga di Jakarta untuk berhadapan dengan situasi yang lebih teruk.Dalam pada itu, Presiden Susilo dalam reaksi segeranya menegaskan; “Demokrasi yang kita semua inginkan bukanlah yang membawa kita kearah anarki dan kerosakan. Dunia akan menyaksikan sama ada demokrasi kita beretika atau bertamadun...”Jurucakap presiden, Julian Aldrin Pasha pula dipetik sebagai berkata, mereka yang mengadakan demo di jalanan bukanlah mencerminkan kehendak majoriti rakyat Indonesia."Malah seandainya wujud usaha untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik sebelum tempohnya tamat, itu adalah perbuatan tidak berperlembagaan," ujarnya.Itulah kebenarannya. Sama ada suka atau tidak, Susilo telah dipilih oleh suara majoriti rakyat Indonesia dalam sebuah pilihan raya umum untuk beliau meneruskan perkhidmatannya untuk tempoh lima tahun lagi.Mandat yang beliau terima itu kini cuba digugat menerusi aksi jalanan. Malangnya, di Indonesia, peristiwa seumpama ini pernah membawa kejatuhan sebuah kerajaan iaitu kerajaan pimpinan Soeharto pada tahun 1998. Mereka pernah melakukannya dan mereka rasa mereka boleh melakukannya sekali lagi.Pada masa yang sama, kawan penulis yang juga bekas wartawan akhbar Republika di Jakarta telah menulis di laman facebooknya betapa demo demi demo yang berlangsung di sana telah mencelarukan otak masyarakat biasa yang hanya ingin keluar rumah mencari sesuap nasi dan rezeki yang halal.Manakan tidak. Di merata-rata jalan disekat dan berlaku kacau bilau yang kesemua merosakkan aktiviti harian mereka semua, katanya. Sedih sungguh...Apakah ini dinamakan demokrasi? Apakah ini demokrasi yang kita semua inginkan? Jawapannya Tidak. Tidak sama sekali...*****DI CHINA BERLAKU 200 JUTA PENGHIJRAHAN...NEGERI China terlalu besar sehinggakan jika anda bergerak dari satu daerah ke satu daerah yang lain, itu sudah cukup jauh untuk dianggap sebagai satu penghijrahan. Khabarnya kini jumlah penduduk China yang berhijrah keluar dari tempat asal mereka adalah berjumlah 200 juta orang. Dan dalam undang-undang negara China, mereka ini adalah ‘pendatang haram’ di negara mereka sendiri.Dan ini sudah cukup untuk memeningkan kepala para pegawai banciannya. Manakan tidak, mereka dikatakan berhadapan dengan satu kesulitan besar iaitu 200 juta orang yang penghijrah haram ini akan cuba mengelak daripada dibanci kerana khuatir mereka akan ditahan atau didenda disebabkan bekerja di luar daerah asal mereka tanpa permit yang sah.Di bawah peraturan Kerajaan Komunis China, jika anda berasal dari satu daerah terpencil misalnya, anda memerlukan permit atau kebenaran khas untuk pergi bekerja di Shanghai atau Beijing.Inilah masalah besar yang mungkin menjejaskan kerja-kerja bancian yang akan dilancarkan 1 November depan bagi menentukan jumlah sebenar rakyat China, kata Feng Nailin, pengarah bancian pusat ketika ditemuramah oleh agensi berita AFP. Buat masa ini penduduk Negeri China dianggarkan berjumlah 1.3 bilion orang.Kebimbangan yang sama juga mungkin timbul dari kalangan warganegara yang memiliki anak melebihi daripada jumlah yang dibenarkan di bawah polisi perancang keluarga yang rata-rata hanya membenarkan setiap keluarga memiliki seorang anak sahaja. Oleh kerana khuatir akan didenda atau ditahan, mereka mungkin akan mengelak daripada dibanci atau berbohong kepada pegawai bancian.Menurut Feng, cabaran paling besar ialah untuk membanci penduduk yang berhijrah yang menyaksikan pertambahan yang berganda akibat pertumbuhan ekonomi di bandar-bandar besar.Jumlah penduduk China yang dicatatkan dalam bancian rasmi pertama negara itu pada tahun 1953 adalah 594 juta manakala dalam bancian kedua pada tahun 2000, jumlah itu meningkat kepada 1.26 bilion.Oleh itu, untuk mengalakkan rakyat melaporkan semua anak mereka dan tidak berbohong, Beijing telah mengarahkan semua pegawai bancian di semua daerah dan bandar agar hanya mengenakan jumlah denda yang paling minimum kepada keluarga yang mempunyai lebih dari seorang anak."Malah keluarga yang berhadapan dengan masalah kewangan akan dibenarkan membayar denda mereka secara berperingkat," ujar Feng lagi.