suria

Ahli Umno Diingatkan Lakukan Transformasi Demi Rakyat

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mahu semua ahli bekerja keras dan melakukan transformasi demi kepentingan rakyat serta parti.

Beliau juga mengarahkan semua ahli Umno supaya mengambil pendekatan berbeza dalam membela nasib rakyat dan meminta semua ahli parti itu bekerja bersama-samanya demi memastikan parti itu sentiasa menjadi pilihan rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT), Dr. Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui selepas taklimat terteup presiden kepada semua perwakilan berkata, Najib turut berpesan kepada semua ahli supaya mengambil pendekatan strategik dalam memperjuangkan nasib kaum Melayu tanpa meminggirkan kaum lain di negara ini.

"Presiden berpesan jika kita semua tidak buat kerja kepercayaan rakyat akan pudar dan bukan berlandaskan teori-teori yang dikaitkan kepada parti.

"Jika buat kerja Umno dan Barisan Nasional pasti akan mendapat sokongan rakyat, itu adalah penting," katanya.

Terdahulu Najib memberikan taklimat tertutup berkenaan kepada semua perwakilan Umno bersempena Perhimpunan Agung Umno 2010 yang berlangsung bermula malam Selasa sehingga Sabtu.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MT, Datuk Seri Ismail Sabri menyifatkan taklimat itu lebih kepada nasihat dan peringatan seorang ketua kepada semua anak buahnya.

"Beliau memberikan nasihat seara ikhlas dan jujur kepada semua yang hadir dan setiap amanat yang diberikan mempunyai maksud tersirat yang tersendiri," katanya.

Ismail berkata, Najib mahukan parti mampu membawa kemenangan pada pilihan raya akan datang sementara soal perpecahan dan apa jua elemen negatif tidak menguasai ahli.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai usaha transformasi yang sedang dilakukan oleh parti, Ismail bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.

"Kita tunggu esok semasa pembentangan itu nanti," katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai calon pilihan raya kecil Galas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Perdana Menteri mahukan calon yang diletakkan mestilah mempunyai potensi untuk memenangi pada pilihan raya itu nanti.

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memberitahu, pergerakannya sedang melakukan persediaan untuk menggempur Galas berikutan kematian penyandangnya, Che Hashim Sulaiman.

Katanya, jentera-jentera Puteri sedang dikemaskini dalam usaha untuk mempertingkatkan persiapan agar gerak kerja yang dilaksanakan berjalan lancar.

Malah katanya, pergerakan itu akan menempatkan 2,000 ahlinya sepanjang kempen pilihan raya kecil kawasan itu dan Parlimen Batu Sapi yang berjalan serentak pada 4 November ini.

Artikel Lain