suria

2,972 Taska Tidak Berdaftar Dengan JKM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,972 taman asuhan kanak-kanak (taska) didapati tidak berdaftar berbanding hanya 448 yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Oktober lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie. Beliau berkata hal itu terjadi disebabkan sikap pengasuh yang sering mengambil mudah perkara tersebut selain turut gagal mematuhi keperluan tiga agensi berkaitan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Katanya kerajaan telah menaikkan denda taska tidak berdaftar daripada RM1,000 kepada tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan pertama selaras dengan pindaan Akta Taska 1984.

"Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali. "Setakat ini, tindakan menyita taska dan pendakwaan sudah diambil terhadap tujuh pengusaha taska tidak berdaftar dan mereka akan berdepan tindakan undang-undang dalam waktu terdekat," katanya sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) peringkat kementerian itu di Dewan Rakyat, Selasa.

Heng berkata pengusaha taska perlu mematuhi standard minimum ditetapkan JKM dengan membuat kawalan dari segi penyediaan jadual menu yang mengambil kira keperluan pemakanan, selain memenuhi peraturan tiga agensi terbabit.

Ia turut mencakupi nisbah bilangan pengasuh dengan kanak-kanak, keluasan minimum ruang lantai dan penyediaan program serta aktiviti harian bersesuaian.

Dalam pada itu beliau berkata, JKM akan sentiasa memberi maklumat dan kesedaran mengenai kepentingannya sebelum sesebuah taska beroperasi bagi memudahkan pengusaha taska mandaftarkan taska mereka.

Katanya pemantauan dan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan hanya taska berdaftar dibenarkan beroperasi akan dilakukan menerusi 100 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah.

"JKM turut mengadakan mesyuarat penyelarasan taska antara pengusaha dengan agensi teknikal dari semasa ke semasa bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit mengenai pendaftarannya," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Rabu. - BERNAMA

Artikel Lain