PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan tidak tergesa-gesa membangunkan loji tenaga nuklear memandangkan "tidak ada jalan keluar selepas loji itu diaktifkan."Saya mempunyai pandangan yang berbeza mengenai nuklear. Saya tidak suka loji tenaga nuklear kerana teknologi itu tidak lengkap. Kita tidak tahu apa yang akan dibuat ke atas sisa nuklear. Sebaik menghidupkan uranium, tidak boleh berpatah balik." "Dan kita sudah pun mempunyai masalah dengan bahan radioaktif atau amang yang kita lombong, yang digunakan untuk televisyen warna. Kini mereka tidak mahu menggunakannya lagi untuk tv warna. Melupuskannya sangat sukar. Kita perlu mengasingkan satu batu persegi tanah untuk menanam amang terbabit," katanya.Dr Mahathir ditemui selepas melancarkan Peugeot 207, model pertama yang dikeluarkan di Malaysia oleh Nasim Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Peugeot di Malaysia.Ditanya mengenai sumber alternatif, Dr Mahathir berkata, "Kita mempunyai empat dasar mengenai bahan bakar sebelum ini - hidro, arang batu, minyak bahan api dan gas. Kita masih boleh dapat sumber bahan bakar asli, sebagai contoh kita boleh mengeluarkan banyak diesel daripada minyak sawit dan pokok jarak dan "exactra.""Kita perlu kaji sumber-sumber lain seperti angin dan kuasa ombak dan sumber tenaga lain yang ditemui dan dimajukan hari ini."Bulan lepas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berharap unit pertama loji penjanaan tenaga nuklear dapat disiapkan menjelang 2012.Mengenai lokasi loji nuklear tersebut, beliau berkata, kementerian telah mengenal pasti beberapa lokasi, namun masih terlalu awal untuk mengumumkannya. - BERNAMA