suria

12 Cabang PKR Adakan Pemilihan Pimpinan Pusat Hari Ini

PETALING JAYA: Sebanyak 12 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan pengundian untuk memilih calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan pemimpin sayap-sayap parti tersebut, Sabtu.

Cabang-cabang terbabit ialah di Sabah iaitu Kudat, Kota Belud, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Ranau, Keningau, Liba­ran, Sandakan dan Silam.

Turut menjalankan pemilihan tersebut hari ini ialah cabang Pasir Mas, Kelantan.

Proses pengundian berjalan dari 10 pagi hingga 4 petang ini.

Sementara itu, di Sabah, sembilan cabang lain iaitu Tawau, Pensiangan, Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Putatan, Sipitang, Beluran dan Tenom pula akan berbuat demikian esok.

Kira-kira 130 cabang lain di Semenanjung dan Sarawak akan mengadakan pemilihan masing-masing pada minggu depan dan minggu berikutnya.

Sehingga 1 November lalu iaitu hari ketiga pemilihan parti, Naib Presiden Mohamed Azmin Ali mendahului dua calon lain dengan memperoleh 3,015 undi dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden.

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim pula mendapat 2,529 undi manakala Pengerusi PKR Perak yang juga Naib Presiden parti Mustaffa Kamil Ayub mendapat mendapat 1,149 undi.

Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi tempoh 2010-2013, bermula Jumaat lepas di empat cabang di Kelantan dan lima di Kedah.

Sabtu lepas, sebanyak 32 cabang iaitu di Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah mengadakan pemilihan manakala semalam, pemilihan dijalankan di 27 cabang di Pulau Pinang, Pahang, Perak. Negeri Sembilan dan Melaka.

Bagi jawatan Naib Presiden, pengarah strategi parti Tian Chua kini mendahului dengan 3,621 undi, diikuti Nurul Izzah Anwar dengan 3,543 undi.

Sementara itu, Pengarah pilihan raya pusat PKR Fuziah Salleh memperoleh 2,895 undi dan pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mansor Othman mendapat 2,852 undi.

Jawatan Naib Presiden, yang mempunyai empat kerusi, menyaksikan 17 calon bertanding termasuk Ansari Abdullah, calon PKR pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, yang kini memperoleh 646 undi.

Seramai 132 calon menawarkan diri bagi mengisi 20 tempat dalam jawatankuasa MPP dengan anggota MPP Dr Badrul Amin Baharon mendahului pencabar lain dengan 3,087 undi.

Ini diikuti ketua penerangan Wanita PKR Elizabeth Wong Keat Ping (2,582), pengarah pemantapan politik keanggotaan PKR Datuk Johari Abdul (2,572) dan anggota MPP Hee Loy Sian (2,174).

Persaingan jawatan ketua Wanita PKR pula menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin mendahului dua calon lain.

Beliau mendapat 1,160 undi manakala anggota MPP Animah Ferrar memperoleh 408 undi dan timbalan pengerusi 2 PKR Perlis Dr Suraya Sudin memperoleh 403 undi.

Dalam pada itu, jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan anggota MPP Badrul Hisham Shaharin.

Badrul Hisham mendahului saingan hari ketiga dengan memperoleh 1,133 undi manakala Shamsul Iskandar memperoleh 1,029 undi.

Mesyuarat pemilihan membabitkan 218 cabang PKR yang bermula 29 Oktober lepas dan berakhir 21 November ini, akan diikuti dengan Kongres Nasional Tahunan parti itu yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 26 November di Stadium Melawati, Shah Alam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain