suria

Timbalan Presiden PKR: Azmin Terus Dahului

PETALING JAYA: Seperti dijangkakan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali terus mendahului dua pencabarnya merebut jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat 2010.

Selepas satu pertiga daripada lebih 200 cabang PKR melangsungkan pemilihannya, berdasarkan keputusan tidak rasmi dari 84 cabang yang diperoleh setakat ini, Azmin unggul di depan dengan majoriti 2,247 undi.

Secara keseluruhannya beliau mendapat 5,987 undi mengatasi pencabar terdekat, Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim yang mendapat 3,740 manakala seorang lagi Naib Presiden, Mustafa Kamil Ayub pula mendapat 1,211 undi.

Bagaimanapun, setakat pukul 9 malam, Ahad, keputusan dari tiga cabang lagi iaitu Pensiangan, Tuaran dan Tenom belum diperoleh.

Walaupun tempat-tempat tersebut dikatakan mempunya jumlah pengundi yang ramai, Malaysiakini melaporkan, peratusan keluar mengundi masih rendah sekaligus tidak akan mengubah kedudukan sedia ada.

Semalam, Azmin di depan dengan dengan majoriti 1,619 undi. Beliau mendapat keseluruhan 5,027 undi diekori Zaid dengan 3,408 dan Mustaffa pula 1,197 undi.

Ini bermakna, walaupun Sabah dianggap banyak pihak sebagai kubu kuat Zaid, Azmin membuktikan berjaya memperoleh peningkatan majoriti sebanyak 628 undi.

Bagaimanapun, dalam kehangatan pemilihan berdasarkan konsep '1 anggota 1 undi' ini, makin banyak muncul dakwaan salah laku dalam proses pemilihan ini. Kesemuanya dinafikan PKR.

PKR dijadual mengumumkan keputusan rasmi pemilihan untuk minggu ini dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu tengah hari esok.

Berikut keputusan mengikut cabang:

Tawau: Azmin (553), Zaid (4), Mustaffa (0)

Sepanggar: Azmin (114), Zaid (49), Mustaffa (10)

Sipitang: Azmin (83), Zaid (65), Mustaffa (1)

Putatan: Azmin (28), Zaid (112), Mustaffa (2)

Beluran: Azmin (9), Zaid (37), Mustaffa (0)

Kota Marudu: Azmin (173), Zaid (65), Mustaffa (2)

Artikel Lain