PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali menjangkakan lebih banyak kemasukan bot nelayan asing di perairan negara ini berikutan kehadiran musim tengkujuh.Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tok Bali, Saiful Lizan Ibrahim berkata fenomena kehadiran musim tengkujuh setiap tahun yang melanda di perairan pantai timur Semenanjung Malaysia kebiasaannya akan menyaksikan kemasukan bot nelayan asing yang dipercayai untuk berlindung daripada cuaca buruk. "Berdasarkan Undang-Undang Laut Antarabangsa 1982, kehadiran bot nelayan asing yang berlindung di pulau di pantai Timur Semenanjung Malaysia pada dasarnya dibenarkan atas keperluan berlindung daripada cuaca buruk terutama musim tengkujuh."Bagaimanapun warga bot nelayan asing dilarang mendarat di pulau berhampiran dan bot itu perlu belayar meninggalkan perairan negara selepas cuaca reda," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.Justeru katanya APMM menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat segera sekiranya ada kemasukan bot nelayan asing menceroboh perairan negara ini dan tidak beredar meninggalkan perairan negara apabila cuaca reda.Saiful Lizan berkata pihaknya kini mempergiatkan operasi untuk mengawal kemasukan bot nelayan asing menceroboh perairan negara bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga mana-mana kegiatan yang menyalahi undang-undang persekutuan di perairan negara.Beliau berkata setelah menerima laporan berkaitan aktiviti dan pencerobohan nelayan asing, tindakan dan perancangan segera akan dilaksana dengan menggerakan aset ke lokasi terlibat."Kerjasama orang awam, penduduk pulau dan nelayan tempatan amat diperlukan untuk menyalurkan maklumat dengan segera ke Maritim Malaysia di talian hotline 09-778 3390 (Kelantan)/03-89434001 (Putrajaya) atau Daerah Maritim 10 Tok Bali Pasir Puteh Kelantan di talian 09-7780059," katanya. - BERNAMA