suria

Akta Anti Pencatutan 2010 Berkuatkuasa April Depan

BERA: Akta Anti Pencatutan 2010 yang melarang peniaga menaikkan harga barang tanpa sebab dibenarkan akan berkuatkuasa April depan kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Apabila akta tersebut berkuatkuasa nanti, peniaga tidak lagi boleh menaikkan harga barang dan mengaut untung berlebihan sesuka hati mereka dan sekiranya mereka melanggar peraturan itu, mereka akan berdepan dengan hukuman yang berat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan pakaian dan peralatan persekolahan kepada 1,400 pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Bera, di sini, Selasa.

Katanya, selaras dengan kewujudan akta itu juga, pihaknya menubuhkan Majlis Penasihat Harga Barang pada tahun depan yang akan dianggotai golongan peniaga, pengguna dan pegawai kementerian yang akan menjalankan pemantauan ke atas semua peniaga.

"Jika didapati peniaga menaikkan harga barang tanpa sebab, jawatankuasa terbabit akan membuat laporan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka," katanya.

Dalam pada itu katanya, kementerian akan mengadakan lebih banyak penerangan kepada pengguna termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tentang harga barang serta senarai kedai yang menjual harga murah dan berpatutan. - BERNAMA

Artikel Lain