suria

2011 Hendaklah Dijadikan Tahun 1Malaysia - Tsu Koon

KUALA LUMPUR: Tahun 2011 hendaklah dilihat oleh semua rakyat Malaysia untuk mereka memastikan falsafah konsep 1Malaysia dalam pembinaan sebuah negara dipromosikan dengan baik berdasarkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata adalah penting untuk melihat semangat dan isi kandungan sebenar konsep 1Malaysia dalam mengekalkan keharmonian, perayaan kepelbagaian dan menjalin perpaduan berdasarkan saling menghormati, keterangkuman dan kesederhanaan.

"Setelah pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) pada 2010, 2011 akan dilihat penerusan pelaksanaan semua inisiatif ini," katanya dalam perutusan tahun baru di sini pada Selasa.

Koh yang juga Presiden Gerakan menekankan bahawa pemimpin dan pegawai kerajaan mestilah terus menunaikan apa yang dijanjikan dengan bersungguh-sungguh dan tekad dalam penyampaian dan bukan hanya sebagai perbincangan.

"Kepentingan bersama adalah untuk menekankan mengenai 'Pencapaian Kini' oleh perkhidmatan awam untuk memberikan khidmat dengan berkesan kepada rakyat selaras dengan komitmen kerajaan yang sentiasa menekankan 'Rakyat Didahulukan', kata beliau.

Katanya semua inisiatif dan komitmen ini hendaklah diberikan penekanan pada sepanjang tahun 2011 sebagai Tahun 1Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain