suria

Alat Ganti Tiruan Antara Punca Kemalangan Bas - TWU

PETALING JAYA: Alat ganti tiruan kini dikategorikan sebagai antara faktor utama kemalangan melibatkan bas ekspres di negara ini.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) Datuk Zainal Rampak berkata penggunaan alat ganti seperti itu berleluasa dalam kalangan syarikat bas kerana ia lebih menjimatkan kos selain mudah didapati.

"Benda ini sudah lama berlaku namun tidak banyak pihak meluahkannya pada pihak berkuasa dan kini pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu memberi perhatian serius terhadap isu ini," katanya kepada pemberita di pejabat TWU di sini pada Selasa.

Zainal berkata antara alat ganti tiruan yang digunakan secara meluas ialah cakera brek yang kadangkala diguna semula selain alat ganti yang tidak sesuai dengan model bas mereka.

"Cakera brek tiruan ini, bila ditekan berkali-kali ketika menuruni bukit contohnya, akan menjadi panas dan akhirnya akan menjadi lembut serta gagal berfungsi pada saat kecemasan," katanya.

Menyentuh penggunaan bas dua tingkat, Zainal mencadangkan agar ia diharamkan penggunaannya sebagai bas perjalanan jauh di negara ini kerana muka bumi yang tidak sesuai kerana berbukit-bukau.

Apabila bas jenis itu dipandu mendaki bukit yang tinggi, keseimbangan bas akan terganggu lebih-lebih lagi ketika ia dipenuhi penumpang dan ini akan membahayakan semua yang berada dalam bas, katanya.

Beliau berkata bas jenis itu hanya sesuai digunakan sebagai bas dalam bandar sahaja.

Bulan ini sahaja, dua kemalangan melibatkan bas dua tingkat berlaku iaitu pada Ahad lalu di Jalan Raub-Bentong yang mengakibatkan enam tercedera dan pada 20 Dis lalu di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai yang mengorbankan 28 nyawa. - BERNAMA

Artikel Lain