suria

TWU Cadang Kerajaan Kurangkan Cukai Import Alat Ganti Tulen

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menurunkan cukai import alat ganti tulen kenderaan, khususnya bagi pengangkutan awam seperti bas.

Setiausaha Agung TWU, Datuk Zainal Rampak berkata harga alat ganti import yang tinggi berikutan cukai dikenakan, antara faktor terdapatnya segelintir pengusaha syarikat bas mengambil langkah mudah menggunakan alat ganti palsu yang jauh lebih murah, tetapi kurang berkualiti.

"Kita boleh bertanya mana-mana workshop (bengkel) sekalipun, memang mereka menggunakan alat ganti tiruan kerana kosnya yang jauh lebih murah. Kalau original (tulen), yang berjenama, ada yang mencecah sehingga RM7,000 ke RM8,000 sedangkan alat ganti tiruan hanya sekitar RM200 ke RM500.

"Seringkali kita perhatikan, apabila berlakunya kemalangan melibatkan bas ekspres, pasti pemandu yang dipersalahkan. Tetapi kalau brek tak makan (tidak berfungsi) sebagai contoh, akibat penggunaan alat ganti tiruan, tak haruslah kita salahkan pemandu," katanya ketika dihubungi Bernama, Jumaat.

Pada 28 Disember lepas, Zainal telah menyifatkan alat ganti tiruan sebagai antara faktor utama kemalangan melibatkan bas ekspres di negara ini.

Bagaimanapun, kenyataannya disangkal Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Semenanjung Malaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Ali yang meminta Zainal membuat laporan kepada pihak berkuasa jika benar ada bukti menunjukkan keadaan itu wujud.

Sehubungan itu, Zainal berkata, adalah lebih wajar bagi semua pihak bekerjasama untuk mengenal pasti usaha dan strategi bagi memastikan kemalangan bas ekspres yang melibatkan nyawa terkorban.

"Banyak bukti telah ditunjukkan oleh media-media, betapa mudahnya kita untuk mendapatkan alat-alat ganti palsu kerana faktor kos minimum... kita seharusnya lebih rasional dan telus kerana keutamaan kita adalah nyawa penumpang kenderaan tersebut," katanya lagi.

Isu alat ganti tersebut timbul apabila dua kemalangan melibatkan bas dua tingkat berlaku iaitu pada 26 Disember lalu di Jalan Raub-Bentong yang mengakibatkan enam tercedera dan pada 20 Disember lalu di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai yang mengorbankan 28 nyawa. - BERNAMA

Artikel Lain