suria

UPP Kuala Kedah Rampas 598 Kartun Rokok Bernilai RM12,700

ALOR SETAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Kedah merampas 598 kartun rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM12,700 di sebuah premis perniagaan di bandar raya ini, Selasa.

Komandernya, Mohd Jasri Othman berkata, duti import ke atas rokok tersebut bernilai lebih RM51,000.

Katanya, sepasukan empat anggota UPP Kuala Kedah diketuai Wan Mazlan Endut membuat intipan hasil maklumat orang ramai dan menyerbu premis tersebut kira-kira 9 pagi.

"Siasatan kami mendapati premis itu dijadikan stor untuk menyimpan rokok seludup pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dari Langkawi untuk dipasarkan di sekitar Kota Setar," katanya kepada pemberita di pejabat UPP Kuala Kedah, dekat sini, hari ini.

Mohd Jasri berkata, UPP menahan seorang lelaki warga emas berumur 72 tahun dipercayai pemilik premis tersebut untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, UPP Kuala Kedah berjaya merampas rokok pelbagai jenama bernilai RM20,000 dan cukai ke atasnya dianggarkan bernilai lebih RM113,600. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan