suria

Buruh Kasar Simpan Kereta Curi Dipenjara Lapan Bulan

KLANG: Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, memerintahkan seorang buruh kasar menjalani hukuman penjara lapan bulan kerana menyimpan kereta Proton Waja yang dilaporkan telah dicuri.

Majistret Afifah Mamat @ Yusof menjatuhkan hukuman tersebut selepas menerima pengakuan salah yang diberikan oleh Nazri Sadad Salamon, 39, pada Isnin.

Afifah memerintahkan supaya hukuman bermula daripada tarikh tangkap, 21 Oktober lalu.

Nazri Sadad didakwa menyimpan kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu pada pukul 4 petang, 21 Oktober lalu, di Jalan 31/N, Kota Kemuning, dekat sini.

Kereta tersebut merupakan kepunyaan Junaizah Jamaluddin, 24 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Rayua Shahrul Ekhsan Hasim mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Nazri yang merupakan bapa kepada seorang anak merayu agar mahkamah mengambil kira faktor kewangannya dalam menjatuhkan hukuman.

“Pendapatan saya hanya RM800 sebulan dan saya menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan ibu bapa yang sudah tua,

“Saya harap mahkamah dapat mempertimbangkan rayuan saya kerana saya tidak berkemampuan untuk membayar denda,” tambahnya.

Artikel Lain