suria

AS Iktiraf Malaysia Model Negara Membangun: Muhyiddin

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyifatkan Malaysia sebagai model negara membangun yang patut dicontohi oleh negara membangun lain kerana kagum dengan tiga pencapaian negara.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton ketika mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jabatan Negara AS di sini, Jumaat.

Muhyiddin berkata, AS kagum dengan apa yang dicapai negara kerana pada pendapat mereka, demokrasi di Malaysia masih subur di samping mempunyai kerajaan yang efektif dan pembangunan ekonomi yang baik.

"Clinton menyatakan ada sesetengah negara (membangun) hanya mencapai satu atau dua daripada tiga perkara itu tetapi Malaysia ada ketiga-tiganya.

"Berulang kali dia nyatakan dia kagum dengan apa yang kita capai," katanya kepada wartawan Malaysia selepas melancarkan Program Latihan Khas Keusahawanan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (myBEST) di sini, Jumaat.

Turut hadir pada perjumpaan itu ialah Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

Muhyiddin berkata, berdasarkan pencapaian itu, AS merasakan penting untuk menyokong apa jua inisiatif yang dilaksanakan Malaysia sama ada di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa.

"Peranan kita amat dihargai kerana ia dapat memenuhi aspirasi kita serta aspirasi mereka," katanya. Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan lawatannya selama enam hari ke AS amat berhasil dalam menjalin hubungan yang lebih rapat antara Malaysia dan kuasa besar dunia itu.

Beliau berkata ramai pemimpin tertinggi pentadbiran AS memberi sokongan terhadap usaha Malaysia ke arah itu dan ia memberi petanda yang positif.

"Mereka melihat kesungguhan Malaysia dalam konteks menjalinkan hubungan dengan AS bukan setakat itu sahaja tetapi kita bersedia berkongsi banyak perkara yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

"Walaupun Malaysia negara kecil, kita nampak mesej Perdana Menteri (untuk Malaysia jalinkan hubungan dengan AS) sudah sampai ke seluruh pentadbiran AS dan ini dapat membantu meningkatkan lagi pembangunan negara kita," katanya.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin berkata Clinton turut memaklumkan kepadanya perkembangan terbaru berhubung isu Palestin dan Afghanistan, hasil lawatan beliau ke Timur Tengah, baru-baru ini.

Mengenai isu Palestin, Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia berharap supaya masalah yang berlaku di negara berkenaan dapat diatasi dan diselesaikan melalui peranan yang dimainkan oleh AS.

Beliau berkata, Clinton juga menyatakan bahawa Palestin memohon agar Malaysia membantu untuk membangun dan memulihkan ekonomi mereka.

"Saya beritahu, kita bersedia untuk menimbangkan perkara ini. Kita juga nyatakan, penting supaya AS mengambil langkah-langkah untuk membantu menyelesaikan proses damai di sana," katanya.

Mengenai penyertaan sulung Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) kelak, Muhyiddin berharap supaya AS menyokong usaha yang dilakukan negara dalam mencapai perdagangan dan perkongsian kekayaan di peringkat global.

Pada pertemuan berasingan dengan Setiausaha Pendidikan AS, Arne Duncan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata Malaysia akan bekerjasama dengan AS dalam membangunkan bidang pendidikan negara.

Muhyiddin mengakhiri lawatannya selama enam hari ke Boston dan Washington pada Jumaat dan dijangka berlepas pulang ke tanah air dari London pada Sabtu. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan