BAHAU: Seramai 11 wanita warga China dan dua wanita warga Thailand yang dipercayai menggunakan pas lawatan kerja sementara palsu ditahan dalam satu operasi Jabatan Imigresen di tiga premis rumah urut di sini malam tadi.Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Ahmad Shakirin Zainal Abidin berkata hasil soal-siasat terhadap tujuh wanita warga China yang berusia awal 30-an itu mendapati mereka telah membelanjakan sejumlah RM13,510 untuk mendapatkan dokumen palsu itu. "Kita tahan mereka kerana disyaki menggunakan pas lawatan kerja sementara yang palsu. Pas palsu ini diperolehi melalui orang tengah," katanya kepada pemberita di pejabatnya.Kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 35 tahun akan didakwa di bawah Seksyen 56(1)(L) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun dan denda tidak lebih dari RM10,000, katanya.Seramai tiga pegawai dan 10 anggota terlibat dalam operasi yang dimulakan pada 9 malam dan berakhir kira-kira 12.30 pagi. - BERNAMA