suria

Badrul Hisham Mohon Injunksi Halang SPR Bincang Status Kerusi DUN Pelabuhan Klang

SHAH ALAM: Badrul Hisham Abdullah pada Jumaat memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi di sini bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada membincangkan status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang.

Badrul Hisham juga memohon satu perintah sementara untuk menghalang suruhanjaya itu mengambil sebarang langkah atau tindakan untuk menentukan terdapat kekosongan kerusi DUN itu.

Badrul Hisham mendakwa beliau masih merupakan wakil rakyat sah bagi kawasan itu selepas Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim mengisytiharkan kerusi itu kosong minggu lepas.

Permohonan injunksi itu difailkan Badrul Hisham melalui peguamnya, Wan Azmir Wan Majid pada pukul 12 tengah hari ini.

Badrul Hisham menamakan Teng dan SPR masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Beliau memohon injunksi setelah memfailkan saman pemula Isnin lepas untuk mendapatkan deklarasi bahawa beliau masih lagi menjadi ADUN Pelabuhan Klang dan berhak menghadiri persidangan DUN Selangor.

Badrul Hisham berkata permohonan itu dibuat bagi mengekalkan status-quonya sebagai ADUN Pelabuhan Klang, yang sedang dipertikaikan Teng, sehingga mahkamah selesai mendengar saman pemulanya yang dijadualkan pada 17 Februari depan.

Pada 19 Januari lalu, Teng mengisytiharkan kerusi itu kosong dengan alasan Badrul Hisham gagal menghadiri persidangan Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah berdasarkan Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri dan tiada peruntukan untuk rayuan.

Sementara itu, Hakim Datuk Suraya Othman dalam kamarnya memutuskan untuk menolak permohonan Badrul Hisham untuk mendapatkan perintah sementara bagi menghalang SPR mengadakan sebarang perbincangan mengenai status kerusi itu sementara menunggu permohonan injunksi itu didengar pada 7 Februari depan.

Badrul Hisham memenangi kerusi DUN itu sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2008 sebelum keluar parti pada 29 Oktober 2009 dan menjadi wakil rakyat bebas.

Beliau kemudian menyertai UMNO Mei tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain