KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Noordin berkata beliau menjangka beberapa lagi wakil rakyat dan kepimpinan kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan keluar daripada parti itu.Beliau berkata tindakan Anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan yang keluar PKR dan melepaskan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai pada Sabtu membuktikan bahawa jangkaan beliau sebelum ini adalah tepat. "Perisytiharan yang dibuat oleh Gobalakrishnan tadi sudah lama teman (saya) jangka, malah teman sudah pun membuat kenyataan sebelum ini bahawa beberapa orang wakil rakyat dan kepimpinan kanan PKR akan mengambil tindakan keluar, cuma masa dan cara sahaja yang berbeza."Teman (saya) tahu ada beberapa orang lagi anggota Parlimen (termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri), kepimpinan kanan parti yang akan mengambil langkah yang sama tidak lama lagi."Masing-masing menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk bertindak sedemikian," kata Anggota Parlimen Bebas itu dalam blog beliau www.zul4kulim.blogspot.com di sini, Sabtu.Zulkifli berkata peletakan jawatan Gobalakrishnan itu merupakan isyarat jelas bahawa PKR sudah hancur lebur dan membuktikan bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juak-juaknya (orang suruhan/hamba) sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan dan keyakinan yang sangat serius."Pada teman (saya), Anwar bukan sahaja menzalimi dirinya sendiri, tetapi beliau juga menzalimi umat, rakyat dan negara. Beliau bukan sahaja merosakkan diri sendiri, tetapi menjadi makhluk perosak kepada umat, rakyat dan negara," katanya.Justeru, Zulkifli mencabar Anwar supaya meletak jawatan dan berundur daripada politik sebelum negara hancur dek kerana nafsu serakahnya yang terlalu ghairah mahu menjadi Perdana Menteri.Dalam sidang akhbar di Kulim, Kedah, Gobalakrishnan, 50, mengumumkan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu dan kini menjadi Anggota Parlimen Bebas berkuat kuasa serta merta.Tindakan itu diambil kerana beliau sudah bosan dengan Anwar dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang kini telah mengawal 100 peratus pentadbiran PKR.- BERNAMA