suria

225 Rakyat Malaysia Di Mesir, 1,584 Di Jeddah Menunggu Untuk Pulang

KUALA LUMPUR: Jumlah rakyat Malaysia di Mesir, yang pergolakan politiknya semakin meruncing berikutan tunjuk perasaan rakyat yang membantah pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, pada masa ini adalah 225 orang.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata daripada angka yang berdaftar dengan kedutaan, seramai 16 orang akan kembali pulang ke Malaysia.

"Kedutaan Malaysia di Kaherah akan menyediakan keperluan sewajarnya bagi membantu para penuntut," katanya dalam satu kenyataan Wisma Putra di sini, Jumaat.

Sehingga kini, beliau berkata jumlah rakyat Malaysia yang berjaya dipindahkan keluar dari Mesir ke Jeddah berjumlah 7,727 dan 6,143 orang telah selamat kembali ke Kuala Lumpur.

Sejumlah 1,584 rakyat Malaysia kini sedang menunggu penerbangan pulang ke tanah air di Kompleks Tabung Haji di Jeddah, katanya.

Anifah berkata seramai 1,010 rakyat Malaysia akan terbang pulang ke tanah air dari Jeddah ke Kuala Lumpur, Sabtu menggunakan penerbangan sewa khas MAS dan penerbangan komersil lain.

Sekumpulan 574 orang akan kembali ke Malaysia pada keesokan harinya, kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain