KANGAR: Sebuah bot nelayan yang membawa 11,000 liter diesel bersubsidi yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran ditahan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Perlis dekat sini malam tadi.Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 APMM Kapt Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata bot itu dikesan pada pukul 8.20 malam pada kedudukan 1.5 batu nautika dari pantai Kuala Perlis ketika sedang menghala ke arah perairan Thailand. Hasil pemerikaan terhadap bot itu, APMM menemui 11,000 liter diesel bersubsidi dalam 11 tangki pada bot yang telah diubahsuai itu, katanya.Abdul Rahim berkata bot itu sepatutnya mempunyai dua tangki dengan kapasiti maksima 4,000 liter diesel untuk kegunaan pelayaran tetapi ia telah diubahsuai menjadi 11 tangki untuk membawa lebih banyak bahan bakar itu.APMM turut menahan tiga lelaki Thailand berumur antara 20 dan 54 tahun yang berada di atas bot itu, katanya.Beliau berkata bot itu telah dibawa ke pangkalan APMM Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.- BERNAMA