KUALA LUMPUR: Adik kepada Teoh Beng Hock, Teoh Lee Lan merayu agar tiga pegawai yang dilantik untuk mengendalikan suruhanjaya siasatan kematian pembantu politik itu digantikan dengan mereka yang lebih ‘bebas’.Tiga pegawai yang dilantik untuk mengendalikan suruhanjaya itu terdiri daripada pegawai di Jabatan Peguam Negara, iaitu Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Amarjeet Singh yang juga merupakan Peguam Kanan Persekutuan. Turut dilantik ialah Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Awang Amardajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa.Cubaan pertama untuk ‘menggugurkan’ pegawai pengendali suruhanjaya dilakukan oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo.Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen menolak permohonan tersebut atas alasan tiga pegawai itu telah memberi jaminan akan bersifat bebas dalam prosiding itu.Sehubungan itu, Lee Lan, 30, melalui seorang lagi peguam keluarganya, Karpal Singh memohon kebenaran untuk tampil ke depan dan bercakap dengan panel suruhanjaya.Dia yang berpakaian hitam putih dilihat tidak begitu selesa bertutur dalam bahasa Inggeris dan memohon kebenaran untuk menggunakan bahasa Mandarin.“Jika kamu bercakap dalam bahasa Mandarin, saya boleh memahaminya, tetapi ia tidak adil untuk mereka yang lain,” kata James semasa menolak permohonan itu.Lee Lan meneruskan percakapannya dalam bahasa Inggeris, tetapi di pertengahan jalan, dia sekali lagi meminta kebenaran untuk bercakap dalam bahasa ibundanya yang kemudiannya diterjemahkan oleh seorang peguam.Lee Lan memberitahu, dia dan ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusan suruhanjaya menolak permohonan Gobind.“Kami mahukan mereka yang bebas untuk mengendalikan suruhanjaya. Kami telah hilang kepercayaan kepada Jabatan Peguam Negara. Mereka mempunyai pendapat yang sendiri.“Bagaimana kami boleh mengharapkan suruhanjaya untuk bersifat bebas? Saya percaya hanya pegawai yang bebas sahaja boleh memberikan apa yang kami mahukan,” kata Lee Lan dalam nada yang tersekat-sekat.Selepas mendengar kenyataan tersebut, James memberitahu pihak suruhanjaya bersimpati dengan kehilangan yang dilalui keluarga mendiang, dan pada masa yang sama juga ingin mengetahui perkara sebenar yang berlaku terhadap mendiang.“Jangan lupa bahawa terma suruhanjaya ini lebih luas dan kami, keluarga awak dan semua orang mahu mengetahui apa yang berlaku.“Jika tidak, kami tidak akan berada di sini. Sehingga kini, kami tidak menemui apa-apa untuk berasa ragu kepada pegawai itu dan saya juga menjemput semua orang untuk meluahkan pendapat mereka,” katanya.Sementara itu, pendengaran yang sepatutnya bermula pada Isnin, tidak dapat dijalankan kerana keluarga mendiang akan memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan suruhanjaya.Karpal memberitahu, semakan itu akan difailkan selewat-lewatnya pada pagi Rabu.Permohonan itu juga akan melibatkan keputusan suruhanjaya yang menolak untuk menangguhkan prosiding suruhanjaya sehingga kes semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dekat sini selesai.Permohonan semakan di Shah Alam difailkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail terhadap keputusan terbuka oleh Koroner Azmil Muntapha Abas berhubung sebab kematian Teoh.Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Wira Mohtarudin Baki pada 17 Februari ini.Justeru itu, James menetapkan suruhanjaya kembali bersidang pada petang Rabu.Selain James, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik/Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim pula dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya.Suruhanjaya tersebut ditubuhkan untuk menyiasat sama ada atau tidak terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Teoh Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan Laporan Shah Alam Nombor 0052/2009 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dengan Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.Selain itu, suruhanjaya juga berperanan untuk menyiasat kematian Teoh, 30, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.Teoh, 30, yang merupakan pembantu politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam pada 16 Julai 2009.Kematiannya dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana beberapa jam sebelum itu dia diminta hadir di pejabat SPRM untuk memberi keterangan berhubung dakwaan salah guna wang peruntukkan Kerajaan Selangor.Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Teon bermula pada 29 Julai 2009 dan pada 5 Januari lalu, Azmil Muntapha memutuskan bahawa kematian itu tidak dapat dikelaskan sebagai bunuh diri atau bunuh.