SEPANG: Kerajaan berjaya membawa pulang 8,341 rakyat Malaysia di Mesir menerusi Ops Piramid, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot.Beliau berkata jumlah itu termasuk 439 orang yang tiba dengan penerbangan MH 8031 pada pukul 8.46 pagi tadi serta 156 lagi yang dijadual tiba menerusi pesawat komersil, Saudi Arabian Airlines tengah hari Isnin. "Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat terutama Syarikat Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di atas kerjasama yang diberikan."Terima kasih juga diucapkan kepada kerajaan Arab Saudi yang sudi membawa rakyat negara ini pulang tanpa mengenakan sebarang bayaran," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan kumpulan terakhir pelajar dari Jeddah di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.Turut hadir menyambut kumpulan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Datuk Seri Tengku Azmil Zahruddin, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab.Riot juga mengulangi bahawa faktor kos yang ditanggung kerajaan tidak penting kerana krisis itu membabitkan keselamatan rakyat Malaysia di sana."Apa yang penting sekarang adalah faktor keselamatan mereka, jadi kita lupakan semua tentang kos," katanya.Misi "Ops Piramid" yang bermula 3 sehingga 11 Februari lepas merupakan usaha kerajaan membawa keluar rakyat Malaysia terutamanya golongan pelajar di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi sebelum dibawa pulang ke tanah air.Misi itu adalah respons kerajaan Malaysia terhadap krisis di negara tersebut yang dicetuskan oleh penunjuk perasaan untuk mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan. - BERNAMA