KUALA TERENGGANU: Usaha murni kerajaan negeri Terengganu untuk mengurangkan masalah sosial di kalangan remaja dengan membabitkan mereka dengan kegiatan kegemaran mereka pada satu hujung minggu setiap bulan telah mendapat sambutan mengalakkan.Remaja dari negeri-negeri berjiran turut menyertai program berkenaan yang kini masuk tahun ketiga. Program Terengganu City Night Games (TCNG) ini melibatkan 12 acara sukan yang digemari remaja antaranya bola jaring, hoki, boling padang, lumba basikal, kenu dan pertunjukan kebudayaan."Walaupun program ini dilihat sebagai suka-suka, kita akan dapat mencungkil bakat pelapis bagi pelbagai jenis sukan," kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat semasa merasmikan program itu, Jumaat.Beliau berkata program itu akan diperluaskan ke daerah di seluruh negeri dengan menyediakan jenis permainan yang bersesuaian dengan daerah berkenaan.Di bandar raya ini, program itu diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak bagi tujuan menghidupkan kawasan itu yang kurang aktiviti berikutan kejadian bumbung utama stadium dengan kapasiti 50,000 tempat duduk itu runtuh pada Jun 2009.Rozi berkata kerajaan negeri masih menunggu laporan siasatan teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai kejadian bumbung utama stadium itu runtuh."Apabila JKR selesai menyiasat dan hasilnya diserahkan kepada kerajaan negeri, kita akan buat keputusan," katanya.Bumbung stadium itu, yang menjadi tuan rumah kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) pada 2008, runtuh pada 2 Jun, 2009 setelah setahun siap dibina.-BERNAMA