suria

Bapa Syak Anak Didera Fail Notis Usul Mohon Bedah Siasat Kedua

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, bagi mendapatkan perintah bedah siasat kedua dilakukan ke atas mayat anak perempuannya yang disyaki mati akibat didera.

M. Subramaniam, 52, memfailkan notis usul tersebut di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi menerusi peguam Gurmit Singh Hullon.

Turut berada di mahkamah ialah isteri Subramaniam, P. Thobathi, 43, dan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Selaku pemohon, dia menamakan Ketua Balai Polis Padang Serai, Ketua Polis Daerah Kulim, Kedah, Ketua Polis Negara, Majistret Kulim dan Pendakwa Raya sebagai responden-responden.

Subramaniam memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah untuk bedah siasat berkecuali diadakan terhadap mayat anaknya, S. Pakiam, 23, yang mati pada 12 Februari lalu.

Dia juga memohon agar bedah siasat itu dilakukan oleh Pakar Patologi Forensik, Dr Karunakaran Mathiharan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini.

Subramaniam yang berasal dari Puchong Hartamas, dekat sini turut memohon supaya kos bedah siasat terhadap anak kedua daripada empat beradik itu ditanggung oleh responden-responden.

Mayat si mati yang merupakan seorang kerani am sehingga kini masih disimpan di bilik mayat, Hospital Serdang dan pemohon mendakwa, dia membayar RM30 sehari untuk tujuan itu.

Selain itu, pemohon turut memohon agar mahkamah mengarahkan supaya satu prosiding inkues diadakan secepat mungkin mengikut Seksyen 334 Kanun Acara Jenayah berhubung kematian si mati.

Berdasarkan afidavit sokongan yang diikrarkan pemohon, dia mendakwa si mati telah berkahwin melalui perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga pada 10 September 2010 dengan seorang saudara, B. James.

Selepas berkahwin, si mati menetap dengan keluarga mertua di Padang Serai, Kedah.

Pemohon mendakwa, dia menerima panggilan telefon daripada Thobathi pada pukul 11.30 malam, 12 Februari lalu memaklumkan bahawa anaknya telah mati.

Semasa itu, pemohon mendakwa suami si mati telah memaklumkan sebab kematian adalah kerana makan ubat sakit perut.

Subramaniam juga mendakwa dia melihat terdapat banyak kesan kecederaan seperti perut dicucuh dengan putung rokok, kuku ibu jari kanan dicabut, kepala bengkak dan luka di seluruh badan pada mayat si mati.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keadaan mayat anaknya, pemohon telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Puchong, dekat sini pada 14 Februari lalu.

Dia juga mendakwa, satu bedah siasat dikatakan telah dilakukan oleh Hospital Kulim, bagaimanapun sehingga kini pihaknya masih belum menerima keputusan bedah siasat tersebut.

Sementara itu, Gurmit yang ditemui selepas memfailkan permohonan itu memberitahu, mahkamah akan mendengar permohonan itu pada Khamis.

Artikel Berikut

Artikel Lain