suria

735 Mangsa Pemerdagangan Diberi Perlindungan Sejak 2008

KANGAR: Sejak Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dikuatkuasakan pada 2008, seramai 735 mangsa yang kebanyakannya wanita telah diberi perlindungan.

Setiausaha Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan (MAPO) Ismail Ahmad berkata dalam tempoh sama seramai 459 orang yang disyaki terbabit dengan kes itu ditahan dan 342 pertuduhan dilakukan.

Beliau berkata pemerdagangan orang meliputi aktiviti merekrut, mengangkut, memindah, melindungi serta menyedia atau menerima seseorang bagi maksud eksploitasi, manakala penyeludupan migran pula membawa masuk seseorang yang bukan warganegara secara haram ke dalam negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada kempen kesedaran Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 peringkat negeri Perlis, di sini Sabtu.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dalam ucapannya berkata era globalisasi menjadikan orang sebagai komoditi untuk diperdagangkan.

Justeru beliau meminta ibu bapa agar mengawasi anak masing-masing agar tidak menjadi mangsa termasuk dijadikan 'keldai dadah' kerana golongan remaja mudah terdorong untuk mengecap kemewahan secara mudah dan pantas.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Kewangan negeri Ramly Dai.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain