suria

Umno Akan Buat Pemilihan Olok-olok Cawangan Dan Bahagian

IPOH: Umno akan mengadakan pemilihan olok-olok di peringkat cawangan dan bahagian pada tahun ini sebagai persediaan memastikan proses pemilihan yang akan diadakan mengikut pindaan perlembagaan parti pada perhimpunan agung khas 2009 lalu berjalan lancar apabila dilaksanakan.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun tarikh pemilihan sebenar belum ditetapkan, persediaan perlu dibuat supaya pelaksanaannya nanti tidak menimbulkan sebarang masalah.

Katanya Umno telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi memantau pemilihan olok-olok yang akan diadakan di peringkat bahagian dan cawangan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Serentak Cawangan-Cawangan Umno Perak di sini pada Ahad, beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu mendapat restu Majlis Tertinggi (MT).

"Ia juga bertujuan memastikan persiapan pemilihan dalam parti nanti berjalan dengan lancar...mana-mana bahagian yang boleh buat pemilihan seperti itu kerana bukan semua bahagian boleh buat, kalau tak buat tahun ni pun tak apa kerana kita tidak tahu bila pemilihan dalam parti akan diadakan.

Beliau berkata langkah itu diambil kerana Umno tidak mahu keadaan yang berlaku seperti dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini turut terjadi kepada Umno.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata pimpinan parti melihat insiden seperti yang berlaku di Timur Tengah baru-baru ini sebagai iktibar untuk melakukan transformasi demi kepentingan rakyat.

Katanya pendekatan yang dilaksanakan terhadap golongan muda melalui penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter menunjukkan para pemimpin parti sentiasa mengikut keadaan dan tuntutan semasa.

"Cara untuk bergerak bergantung kepada pendekatan yang mungkin di luar kotak yang mana rakyat kita dahulukan dan pengundi tentukan nasib kita akan membawa manfaat kepada parti dan masa depan negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13," katanya.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang juga Menteri Kewangan Kedua.

Lebih 5,000 anggota Umno dari 24 bahagian Perak yang mewakili 1,679 cawangan menghadiri perasmian serentak itu.- BERNAMA

Artikel Lain