GEORGE TOWN: Umno Pulau Pinang akan mengerakkan semua sayap parti itu bagi memperhebatkan gerakan mendaftar pengundi baru untuk memastikan lebih ramai pengundi terutama golongan muda dapat mengundi pada pilihan raya akan datang.Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata dalam usaha menambah bilangan pengundi berdaftar, pihaknya telah menggariskan beberapa langkah termasuk menggerakkan jentera parti ke setiap kawasan akar umbi untuk melaksanakan tugas berkenaan. Katanya usaha itu juga adalah bagi memastikan penduduk di negeri ini tidak tercicir dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi."Usaha itu tidak sepatutnya dilengah-lengahkan kerana ia boleh membantutkan usaha menguatkan parti seperti yang dirancang oleh pucuk pimpinan tertinggi dan kita kena laksanakan secara berterusan serta sistematik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Konsodilasi Patriotisme Ekonomi Bumiputera di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pada Sabtu.Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik hadir menyampaikan ucaptama dalam program berkenaan.Zainal berkata pihaknya juga sedang mengemas kini maklumat daftar pengundi sedia ada untuk mengetahui bilangan sebenar yang telah mendaftar."Umno sedar, pembangkang terutama DAP giat melakukan daftar pengundi baru. Namun, bagi kita, tidak kira mereka mendaftar di mana, tapi yang lebih penting mereka mengundi untuk siapa."Inilah yang sedang giat kita lakukan untuk memenangi hati pengundi. Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu menjadi alternatif yang boleh dilihat rakyat dapat berkhidmat untuk mereka," katanya.-BERNAMA