suria

Bas Terbalik: Lima Cedera Termasuk Pemandu

KUALA TERENGGANU: Lima orang termasuk seorang rakyat Thailand cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik dalam parit besar sedalam dua meter di KM 38, Pagoh Jaya, Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu berhampiran Felda Belara, Selasa.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kuala Terengganu, Asisten Supritendan Che Khazahari Amat berkata, kejadian pada pukul 11.05 pagi itu membabitkan bas yang membawa 12 penumpang termasuk lima rakyat Thailand yang dalam perjalanan ke Setiu.

"Sampai di satu selekoh di kawasan kejadian, bas itu dipercayai hilang kawalan kerana keadaan jalan yang licin ekoran hujan renyai-renyai. Bas itu kemudian bergesel dengan sebuah kereta Perodua Kancil dari arah bertentangan sebelum terbalik ke dalam parit besar itu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat Thailand yang cedera dikenali sebagai Arifah Wan Muda, 20, manakala empat rakyat tempatan yang cedera dalam kemalangan itu ialah Nor Wahidah Mat Ti, 21, Mohd Lim Abdullah, 60, Mohd Zulkifli Zohor, 20, dan pemandu bas Md Amin Mohd, 40.

Kesemua mereka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) oleh orang awam dan ambulans Jabatan Pertahanan Awam negeri.

Mohd Lim yang merupakan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut akibat terkena serangan jantung dipercayai terkejut dengan kejadian itu, manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar.

Che Khazahari berkata dua penumpang dan pemandu kereta Perodua Kancil itu tidak cedera.

Sementara itu seorang penumpang rakyat Thailand yang ditemui berkata, beliau terdengar bunyi yang kuat sebelum bas tiba-tiba terbalik menyebabkan kepalanya terhantuk ke dinding bas.

"Semasa kejadian saya terlelap dan apabila sedar sahaja bas telah terbalik dan penumpang terutama wanita ada yang menjerit dan menangis ketakutan.

"Kami terpaksa memanjat tingkap untuk keluar dan penumpang yang tidak cedera saling membantu mengeluarkan penumpang lain yang cedera sebelum bantuan tiba 15 minit kemudian," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan