MELAKA: Roslan Ahmad pada Isnin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN Merlimau di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhammad.
Majlis itu diadakan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob merasmikan persidangan penggal keempat DUN Melaka kali ke-12.
Turut menyaksikan majlis itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Roslan, 44, selaku calon Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil DUN Merlimau semalam dengan menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah, 38.
Dengan kemenangan Roslan yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jasin, BN mengekalkan 23 kerusi di dalam DUN Melaka.
Lima lagi kerusi diduduki wakil DAP.
Dewan turut merakamkan penghargaan dan menyampaikan bacaan Al-Fatihah kepada mantan DUN Merlimau, Datuk Mohamad Hidir Abdullah yang meninggal dunia 20 Januari lalu akibat serangan jantung. -BERNAMA