suria

1Malaysia Amalan Masyarakat Santubong Sejak Dulu

PERTAMA kali menjejak kaki ke Kampung Muara Tebas yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Kuching, keharmonian dan perpaduan kaum jelas kelihatan dari pandangan mata kasar penulis meskipun penduduk di sini terdiri daripada pelbagai bangsa - Melayu, Melanau, Cina, Iban dan Bidayuh.

Nyata tekaan penulis tepat. Perkara itu diakui salah seorang penduduk, Saadan Tarap, 55, yang sudah menetap di perkampungan nelayan itu semenjak kecil lagi.

"Sebelum konsep 1Malaysia diketengahkan, masyarakat di sini sudahpun mengamalkan perpaduan kaum. Orang Melayu, Cina dan Dayak sentiasa bantu-membantu antara satu sama lain.

"Pergaduhan antara kaum tidak pernah berlaku di sini. Mungkin, nenek moyang kami sebelum ini mempunyai hubungan rapat sesama mereka," katanya ketika ditemui mStar Online di Santubong, Sabtu.

Saadan berkata penduduk di sini lebih memberi tumpuan kepada hal masing-masing berbanding berbicara mengenai isu pilihan raya yang sedang hangat diperkatakan.

"Kami tidak gemar bermain politik. Hanya menteri saja yang akan main politik. Kami cuma akan menjalankan tanggungjawab apabila tiba hari pengundian kelak," jelasnya.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, Barisan Nasional (BN) sentiasa menjadi calon utama pengundi di perkampungan yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.

"Kami sentiasa berpuas hati dengan kemajuan yang telah dibawa BN terhadap perkampungan ini. Saya rasa peluang pembangkang untuk menang di kawasan ini amat tipis. Saya yakin semua penduduk di sini 100 peratus menyokong BN," ujarnya.

Di sebalik kemudahan jalan raya, elektrik, sekolah dan jambatan yang telah diberikan, Saadan yang sudah bekerja lebih 20 tahun sebagai nelayan menggesa pihak kerajaan untuk membina benteng bagi menghalang rumah penduduk daripada dinaiki air apabila tiba musim tengkujuh.

"Kami pernah mengutarakan masalah itu kepada kerajaan tetapi belum mendapat sebarang maklum balas. Pernah dulu rumah penduduk di sini dinaiki air sampai paras lutut. Jadi besar harapan kami, agar benteng dapat dibina untuk keselamatan orang kampung," tambahnya.

Sementara itu, kewujudan sebuah tokong Buddha, Ching San Yen yang terletak di atas bukit perkampungan itu sejak 200 tahun lalu tidak menjadi isu dan masalah kepada penduduk Melayu di sini.

Menurut penjaga tokong itu, Chew Ching Ming, hubungan penduduk Melayu dan Cina di sini amat baik malah pekerja pemotong rumput di sini merupakan orang Melayu.

"Ada juga penduduk bangsa lain datang ke sini berdoa meminta agar hasil tangkapan ikan mereka meningkat. Ia tidak menjadi masalah, sesiapa saja bebas datang ke sini," katanya yang sudah lebih 20 tahun bekerja di situ.

Ching Ming berkata tokong itu turut dikunjungi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan bertanding pada pilihan raya negeri 16 April ini.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN berjaya memenangi DUN Demak Lait menerusi calonnya, Dr Abang Draup Zamahari Abang Zen yang menewaskan Saidan @ Massudin Sahini dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau memperoleh kemenangan dengan 3,605 majoriti undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain