KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas ditemui mati berlumuran darah dengan kesan kelaran di lehernya di hadapan lif di tingkat lapan, Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini, malam Ahad.Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa Veeramah Perumal, 79, dipercayai disamun sebelum dikelar menggunakan senjata tajam kira-kira 20 meter dari rumahnya. "Mangsa yang tinggal bersama keluarga anaknya di tingkat tersebut ditemui berlumuran darah oleh penduduk dan kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.45 petang hingga 7.30 malam."Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Bagaimanapun tiada senjata ditemui di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.Beliau berkata mangsa dipercayai disamun berikutan anting-anting yang dipakainya hilang. Bagaimanapun, suspek tidak sempat melarikan dompet dan gelang emas yang dipakainya.Katanya setakat ini belum ada tangkapan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.-BERNAMA