suria

Warga Myanmar Didakwa Merompak

KUALA LUMPUR: Seorang warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis, atas tuduhan merompak.

Pengakuan Yan Niang, 29, direkodkan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Dia didakwa merompak Naing Win Soe, pada pukul 6 petang, 14 April lalu di Jalan Tun Razak di sini dengan bersenjatakan sebilah pisau.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya bersama tiga lagi rakan subahat yang masih bebas, dan menyebabkan mangsa kerugian RM1,500.

Pada prosiding sama, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa pasport dan permit yang sah pada tarikh yang sama.

Zulhazmi membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor D. R. Ghandi yang tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh atas alasan dia warga asing dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 Mei depan.

Artikel Lain