GEORGE TOWN: Tun Abdul Rahman Abbas hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bagi penggal keempat.Upacara mengangkat sumpah itu dilakukan di hadapan Hakim Pengurus Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Zakaria Sam di Seri Mutiara di sini. Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, anggota Exco kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat.Pada 19 April lepas, Abdul Rahman, 73, menerima Surat Cara Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk memegang jawatan itu bagi tempoh dua tahun dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara.Abdul Rahman yang dilahirkan pada 15 April 1938 di Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas, Pulau Pinang mula dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketujuh pada 17 April 2001 dan seterusnya dilantik semula untuk memegang jawatan yang sama pada 1 Mei 2005 dan 15 April 2009.Abdul Rahman yang kini Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten), berkahwin dengan Toh Puan Majimor Shariff dan dikurniakan empat orang anak.Beliau yang berkelulusan ijazah kepujian dalam bidang Kesusasteraan daripada Universiti Malaya (UM) pada 1972, pernah menjadi pemangku Ketua Menteri Pulau Pinang selama tiga tahun bermula pada 1982.Beliau pernah berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun sebelum bergiat aktif dalam politik dan telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bertam, Pulau Pinang selama empat penggal pada pilihan raya umum tahun 1978, 1982, 1986 dan 1990.Abdul Rahman dalam karier politiknya pernah menjadi Setiausaha Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dari 1974 hingga 1988, Anggota Jawatankuasa Pemuda UMNO dari 1976 hingga 1978 dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas pada 1988. BERNAMA