MUAR: Umno tidak akan menggadai prinsip perjuangannya walaupun berhadapan dengan suasana politik yang getir dan mencabar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.Timbalan Presiden Umno itu berkata berlainan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS, Umno tidak akan menggadai prinsip politiknya semata-mata untuk meraih sokongan politik yang sementara. "Umno sentiasa istiqamah dalam mempertahankan kesucian Islam dan membela bangsa Melayu kerana itulah prinsip asas perjuangan Umno. PAS sebaliknya boleh mengenepikan sementara prinsip perjuangan semata-mata untuk meraih sokongan politik," katanya.Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata demikian ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Pekembar di sini, Ahad.Timbalan Perdana Menteri berkata lebih lama PAS berada di dalam pakatan pembangkang, lebih banyak prinsip perjuangan parti itu akan terhakis dan tergadai.Bagi PKR pula, katanya parti pembangkang itu langsung tidak ada prinsip perjuangan kerana dari mula ditubuhkan, perjuangannya hanyalah untuk Ketua Umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim.Katanya apabila Anwar dilanda masalah, parti itu turut dilanda masalah yang parah dengan PKR kini dkenali sebagai "Parti Kian Runtuh" dan "Parti Keluar Ramai-Ramai".Beliau berkata sekiranya anggota Umno terus istiqamah dengan prinsip, falsafah dan roh perjuangan parti, Umno akan terus bertambah kuat dan dihormati."Jangan kita gadai perjuangan kita, kerana prinsip inilah yang menentukan kewujudan dan kelangsungan Umno sebagai sebuah parti politik Melayu yang gagah dan perkasa," katanya.Menurut Muhyiddin, Umno tidak pernah mengambil pendekatan yang ekstrem di dalam perjuangan kepentingan Melayu dan Islam dan sentiasa bersikap adil terhadap semua dengan mengambil kira realiti sosial masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. - BERNAMA