IPOH: Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada Khamis bertitah menegaskan bahawa tanggungjawab juruaudit cukup penting apa lagi jika ia melibatkan pembelian, pengendalian dan penyenggaraan instrumen serta peralatan melibatkan nyawa dan keselamatan manusia.
Tugas juruaudit, tegas baginda, bukan sekadar memastikan urusan kewangan dipatuhi sepenuhnya tetapi turut menentukan tahap piawaian yang tinggi tidak dikompromikan dalam menilai kualiti peralatan dan penyenggaraannya.
"Etika profesion juruaudit tidak boleh sama sekali dikorbankan. Sifat teliti, halus, mendalam, tajam dan tepat adalah komponen penting yang wajib dipenuhi oleh setiap juruaudit," tegas baginda ketika merasmikan Wisma Jabatan Audit negeri Perak di Bandar Meru Raya di sini.
Sultan Azlan mengingatkan bahawa sesebuah organisasi boleh lumpuh manakala "stakeholder" terpaksa menanggung kerugian sekiranya kepincangan audit di peringkat pengurusan tertinggi tidak didedahkan di peringkat awal lagi.
Baginda bertitah malah ada kepincangan cuba ditutup kerana adanya hubungan terlalu rapat antara juruaudit dan pelanggan sehingga ada juruaudit yang terperangkap dengan kemesraan hubungan serta tergamak mengorbankan prinsip utama profesion audit.
Sultan Azlan Shah bertitah kumpulan audit yang dihormati adalah mereka yang tidak akan berkompromi tanpa takut kehilangan pelanggan atau jawatan serta mereka yang tegas dan bebas.
"Mereka yang tidak akan menutup kesilapan dan berani mendedahkan kebenaran, daripada kalangan mereka yang mengemukakan laporan secara tepat berasaskan bukti dan data, dan daripada kalangan mereka yang dapat menyempurnakan tanggungjawab dalam tempoh masa yang ditetapkan," ujar baginda.
Baginda bertitah pengurusan tinggi awam yang menghayati budaya amanah, telus, jujur dan cekap akan melihat juraudit sebagai rakan kongsi yang dapat menambahbaik pengurusan organisasi atau agensi di bawah kawalan mereka.
Bangunan bernilai RM9 juta itu merupakan bangunan pertama dimiliki oleh Jabatan Audit Negara sejak institusi itu ditubuhkan pada 1906.
Idea pembinaan bangunan itu tercetus pada Jan 2004 ketika perancangan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dimulakan.
Wisma tersebut akan menempatkan pejabat sedia ada yang kini menumpang di Bangunan Persekutuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini. -BERNAMA