KUALA LUMPUR: Saluran pendidikan Astro TVIQ memperkenalkan segmen Bahasa Malaysia terbaru, Sekolahku dalam usaha mengubah persepsi kanak-kanak bahawa pelajaran adalah sesuatu yang menyeronokkan.Ketua Bahagian Pendidikan Astro, Ravi Gopal berkata, segmen terbaru itu menampilkan beberapa program popular seperti Ada Berani?Cubalah! (ABC), Sains Comot, Syoknya Sains! dan Backyard Science yang menggabungkan proses pembelajaran dan hiburan bersesuaian dengan sukatan pelajaran di sekolah. "Bagi memenuhi keperluan semasa, Astro TVIQ melakukan pelbagai perubahan untuk mengubah tanggapan kanak-kanak mengenai pelajaran Sains dan Matematik yang sering kali disifatkan sebagai membosankan," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.Menurut Ravi, Astro TVIQ mengambil keputusan untuk mengetengahkan pendidikan berkaitan Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia atas permintaan orang ramai khususnya di pinggir bandar."Jika dulu kita perkenalkan program dalam Bahasa Inggeris, kini segmen dalam Bahasa Malaysia diperluaskan kerana bilangan penonton di pinggir bandar semakin meningkat," jelasnya.Ravi berkata, sebanyak 60 peratus penonton saluran Astro TVIQ terdiri daripada penduduk di pinggir bandar manakala 40 peratus lagi di kawasan bandar.Justeru, Ravi memberitahu Astro TVIQ cuba mempelbagaikan program dalam Bahasa Melayu kerana majoriti penonton di pinggir bandar menggunakan bahasa itu sebagai medium perantaraan.Jelasnya, salah satu program terbaru dalam segmen Sekolahku, Sains Comot yang dihoskan Khairul Nizam Nazri sudah disiarkan setiap Sabtu dan Ahad pada pukul 11 pagi manakala tiga program lain iaitu, ABC, Syoknya Sains! dan Backyard Science mula menemui penonton, Sabtu ini.Dalam program Sains Comot, Syoknya Sains dan Backyard Science, penonton berpeluang mendalami pengetahuan dalam bidang sains di samping mempelajari ekperimen dengan cara lebih mudah dan selamat di rumah.Bagi program ABC, pengacara Azrul Raja Lawak akan menemui pelajar di pinggir bandar untuk menggalakkan penyertaan mereka dalam segmen berbentuk pelajaran dan permainan yang mencabar.Ravi berkata, setakat ini, krew program ABC telah berkunjung ke 12 sekolah terpilih di sekitar kawasan pinggir bandar, Selangor dan sambutan yang diterima begitu menggalakkan."Kami turut merancang untuk mengadakan program jelajah ke negeri lain pada masa hadapan. Selain itu, kandungan segmen dalam Bahasa Malaysia akan diperluas dari semasa ke semasa agar seimbang dengan program dari luar negara," tambahnya.