JITRA: Seorang warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua tuduhan mengedar dadah jenis heroin dan kanabis.Emmanuel Muwonge, 29, dituduh mengedar 43 pellet yang mengandungi heroin seberat 804.92 gram di tepi jalan berhampiran stesen minyak Petronas Tanah Merah di sini pada 14 Mei 2011 kira-kira 11.55 malam. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang masih belajar di institusi pengajian di negaranya, didakwa mengedar kanabis seberat 15kg di tempat dan masa yang sama.Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1986) dan boleh dihukum menurut Seksyen 39B(2) akta yang sama, yang membawa hukuman gantung mandatori.Majistret Ahzal Fariz Khairuddin menetapkan 24 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Idris manakala tertuduh diwakili peguam K.T. Jayaraj. -BERNAMA